Tukar Jurulatih Bukan Masalah – Khairy

47
0
SHARE

PUTRAJAYA: Persediaan skuad bola sepak Bawah 22 Tahun (B-22) negara menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur (KL 2017) tidak akan terganggu meskipun berlaku pertukaran jurulatih tatkala temasya dwitahunan itu berbaki kira-kira lima bulan lagi.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata keputusan Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, melantik Datuk Ong Kim Swee berkuat kuasa serta-merta melatih skuad B-22 menggantikan Frank Bernhardt bukan satu masalah besar.

Katanya, Kim Swee sudah membuktikan kemampuannya ketika mengendalikan skuad B-22 dengan memenangi pingat emas pada temasya dwitahunan itu.

“MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) yang menjadi badan pengurusan program Kita Juara serta menyediakan khidmat sokongan buat kontinjen Malaysia, tiada masalah memberi sokongan kepada Kim Swee.

“Kami sangat mengenali dirinya dan seharusnya tidak timbul masalah. Kim Swee adalah pilihan yang bagus. Dia sebelum ini daripada pasukan B-23 dan sangat biasa dengan format Sukan SEA dan sebagainya,” kata Khairy.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) penajaan dengan Prudential Assurance Malaysia Berhad untuk KL 2017 di sini, hari ini.

Sejurus disahkan sebagai Presiden FAM yang baharu pada Kongres FAM ke-53 Sabtu lalu, Tunku Ismail mengumumkan pelantikan Mario Gomez sebagai pengendali Harimau Malaysia menggantikan Kim Swee.

Kim Swee dilantik melatih skuad B-22 menggantikan Bernhardt.