TUDM Terima Pesawat A400M Kedua Disember Ini

119
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal menerima pesawat Airbus A400M yang kedua pada awal Disember ini, kata Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Roslan Saad.

“Ini merupakan pesawat kedua daripada empat pesawat yang dibeli pada Disember 2005… yang pertama telah diterima pada 9 Mac lalu.

“Pesawat A400M merupakan pesawat moden dari segi teknologi berbanding pesawat DHC-4 Coribou yang kita ada sekarang… walaupun menggunakan teknologi moden dan baru, juruterbang TUDM masih mampu menerbangkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas dimasyhurkan sebagai ahli kelima ‘Hall of Fame’ di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) di ibunegara hari ini.

Pesawat A400M mempunyai jangkauan operasi yang lebih jauh serta berkeupayaan untuk mengangkut kapasiti kargo yang lebih besar berbanding pesawat yang dimiliki TUDM ketika ini.

Selain untuk tujuan pertahanan, pesawat itu juga berupaya melaksanakan misi yang merangkumi penugasan berkaitan ‘Medical Evacuation’ (Medevac), ‘Air-to Air Refuelling’ (AAR), ‘Aerial Delivery (Paratroop & Logistic)’ serta operasi Humanitarian Aid and Disaster Relief (HADR).

Beliau berkata baki dua buah pesawat lagi, dijangka tiba menjelang pertengahan tahun depan secara berperingkat.

‘Hall of Fame’ merupakan penganugerahan tanda perhormatan tertinggi kepada alumni MPAT yang masih berkhidmat serta memegang jawatan tertinggi dalam perkhidmatan.

Sebelum ini, pengiktirafan sama diberikan kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin sebagai penerima pertama diikuti penerima kedua, bekas Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.

Penerima ketiga merupakan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish dan penerima keempat, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.