Trump Mahu Orang Islam Dihalang Memasuki Amerika Syarikat

100
0
SHARE

WASHINGTON: Satu cadangan untuk menghalang kemasukan umat Islam ke Amerika Syarikat dibuat oleh calon Presiden Amerika Syarikat daripada Parti Republikan, Donald J. Trump.

“Donald J. Trump menggesa agar satu halangan menyeluruh dibuat terhadap umat Islam daripada memasuki Amerika Syarikat dikuatkuasa sehingga wakil negara ini boleh mengenal pasti apa sebenarnya sedang berlaku,” kata kenyataan akhbar kempen beliau, lapor CNN.

Trump, sebelum ini meminta pihak berkuasa mengawasi kawasan masjid dan menyatakan pihaknya terbuka untuk mewujudkan pangkalan data untuk semua umat Islam yang tinggal di Amerika Syarikat.

Trump dipercayai mengeluarkan kenyataan itu ekoran kejadian tembakan di San Bernardino, California, yang dilakukan oleh sepasang suami isteri yang dikaitkan dengan kumpulan militan ISIS.

Kenyataan itu bagaimanapun mengundang kritikan daripada pesaing Trump dan White House yang mengecam gesaan Trump itu kerana ia dianggap “amat bertentangan” dengan nilai-nilai Amerika Syarikat.

Pengurus kempen Trump, Corey Lewandowski kepada CNN pula berkata bahawa larangan itu bukan hanya kepada pendatang asing beragama Islam yang memilih Amerika Syarikat untuk berhijrah, tetapi juga kepada umat Islam yang datang melawat Amerika Syarikat sebagai pelancong.

“Semua orang,” kata Lewandowski ketika ditanya sama ada larangan itu juga dikenakan kepada pelancong Islam.

Manakala, Trump pula akui negara itu sudah cukup bersikap adil namun berikutan kejadian yang tidak diingini, dia terpaksa berpendirian demikian.

“Kami mahu berlaku adil tetapi terlalu banyak perkara yang tidak diingini berlaku dan peratusan mereka yang membenci negara ini semakin berkembang.”

“Mereka yang mahu memusnahkan negara ini mesti diambil tindakan,” katanya.

Trump mengesahkan bahawa polisi beliau tidak akan digunapakai ke atas penduduk Islam yang kini bemaustatin di Amerika Syarikat.

“Saya mempunyai rakan-rakan Islam dan mereka orang yang baik-baik. Tetapi ada sebahagian umat Islam yang tinggal di negara ini dengan niat bermusuh,” katanya lagi.

Sejak serangan di Paris dan kejadian tembakan di California baru-baru ini, Trump semakin keras mengkritik dan menyasarkan orang Islam dalam ucapannya.
Kenyataan beliau mendapat kritikan di laman mikro Twitter, termasuk daripada kalangan calon parti Republikan lain.