Trump Akui Disiasat Isu Russia

12
0
SHARE

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan, beliau sedang disiasat berkaitan dakwaan campur tangan Russia dalam pilihan raya tahun lalu yang mencemarkan imej pentadbirannya.

Pemimpin Republikan itu juga menyelar orang nombor dua tertinggi dalam Jabatan Kehakiman, individu yang ditugaskan menubuhkan siasatan terbabit.

Tweet penuh kemarahan Trump awal pagi semalam adalah kali kedua sejak beberapa hari lalu, muncul ketika peguam khas menyiasat pengaruh Russia berkaitan pemilihan beliau sebagai Presiden AS, mengumpulkan pasukan peguam berkaliber serta bersedia memulakan soal siasat.

Trump dituduh memecat Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), James Comey kerana enggan menghentikan siasatan Russia daripada mengaitkan bekas penasihat keselamatan negara serta sekutunya, Mike Flynn.

Trump menafikan cuba mempengaruhi siasatan, namun mengakui dalam satu temuramah bahawa Russia berada dalam fikirannya ketika memecat Comey.

“Saya disiasat kerana memecat Pengarah FBI oleh lelaki yang mengarahkan saya berbuat demikian!” katanya dalam tweet dari Rumah Putih, sehari sebelum lawatan ke Miami.

Ia adalah pengakuan pertama yang mengesahkan Trump disiasat kerana menghalang keadilan. -AFP