TPPA Tidak Harus Menjejaskan Kedaulatan Negara – Tengku Razaleigh

39
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tidak menjejaskan kedaulatan negara, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Katanya, hal ini kerana terdapat kebimbangan kemungkinan perjanjian tersebut akan membuka ruang kepada kuasa asing untuk campur tangan dalam dasar dan undang-undang sedia ada di negara ini.

“Ia bukan sahaja menyentuh ekonomi, sosial dan politik tetapi juga soal kedaulatan negara.

“Ini mesti kita hitungkan, kita boleh untung hari ini seringgit atau dua, tetapi apakah kesan ini dari segi kedaulatan kerana walaupun kita (negara) kecil tetapi kita bermaruah,” kata bekas Menteri Kewangan itu ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Sementara itu, Tengku Razaleigh berkata Bajet 2016 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat nanti diharap dapat meringankan beban hidup rakyat terutama dalam menghadapi cabaran kejatuhan nilai mata wang negara.