TPPA Tidak Halang Ubat Generik Yang Lebih Murah

110
0
SHARE

Oleh: Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tidak menghalang kerajaan untuk mengambil langkah perlu bagi melindungi kesihatan awam termasuk penyediaan ubat generik yang lebih murah bagi menggantikan ubat berpaten yang mahal.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam, kerajaan mempunyai peruntukan di bawah lesen wajib dan berhak untuk mengilang atau mengimport ubat genetik bagi memastikan akses kepada ubat pada harga yang lebih murah.

Tambah Dr Subramaniam lagi komitmen Malaysia dalam perjanjian TPPA tidak
bercanggah dengan objektif Dasar Ubat Nasional (DUNAS) bagi memastikan akses kepada ubat-ubatan yang selamat, efektif dan mampu dimiliki serta tidak bertujuan untuk menyekat pertumbuhan industri generik tempatan.

Jelasnya lagi negara juga boleh mengambil langkah-langkah untuk melindungi kepentingan kesihatan awam berdasarkan Deklarasi ke atas Perjanjian Perdagangan Berkaitan Hak Harta Intelek (TRIPS) dan Kesihatan Awam.

“Setiap negara mempunyai hak untuk menentukan keadaan darurat kesihatan atau keadaan lain yang mendesak termasuk menangani krisis kesihatan awam seperti penyakit HIV/AIDS, tibi dan wabak malaria.”

Tambah beliau tempoh perlindungan paten untuk produk farmaseutikal pula kekal 20 tahun sepertimana yang diperuntukkan di bawah Perjanjian TRIPS, WTO dan Akta Paten 1983.

Bagi tujuan pelaksanaan obligasi hak harta intelek berkaitan farmaseutikal,
Dr Subramaniam menjelaskan Malaysia mempunyai masa peralihan antara empat hingga lima tahun selepas perjanjian TPPA dikuatkuasakan.

“Tempoh tersebut adalah mencukupi untuk membolehkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah memperkukuhkan sistem pendaftaran ubat dan membuat pindaan ke atas akta dan peraturan-peraturan berkaitan,” katanya dalam sesi pergulungan sidang khas Dewan Rakyat yang berakhir hari ini.

SHARE
Previous articleBR1M 2016 Dibayar Mulai Esok
Next articleSiapa Tak Puas Hati Boleh Mohon Tafsiran Mahkamah – Apandi Ali