TPPA: “Saya Bimbang Nasib Bumiputera” – Shafie Apdal

116
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal mengakui bahawa beliau bimbang dengan nasib golongan Bumiputera jika Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ditandatangani kelak.

Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan sejauh mana kemampuan kerajaan dalam memastikan Malaysia mampu memasuki dan kekal dalam pasaran antarabangsa.

Bagaimanapun, kebimbangannya itu tidak bermakna beliau tidak menyokong perjanjian itu, namun banyak perkara perlu diteliti sebaik mungkin.

“Kesiapsiagaan (Malaysia) bukan sahaja dari segi struktur perundangan tetapi keupayaan masyarakat peniaga kita, peringkat akar umbi, kerajaan negeri. Ini merupakan perkara fundamental yang perlu dilihat.

“Laporan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) menyebut secara umumnya penyertaan Malaysia adalah selari dengan kepentingan negara.

“Walau bagaimanapun isu domestik yang berkaitan dengan bumiputera, hak pekerja dan lain-lain seperti persaingan dan harta intelek perlu diberi perhatian dan tidak boleh dipandang ringan,” kata Shafie semasa membahaskan usul Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai TPPA di Parlimen di sini, hari ini.

Tegasnya, Malaysia perlu melihat pengalaman negara-negara yang ada hubung kait dengan Amerika Syarikat dalam soal pembangunan ekonomi.

“NAFTA (Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara) contohnya, perjanjian yang dilakukan oleh negara-negara yang ada hubung kaitnya dengan Amerika Syarikat seperti Mexico, Kanada.

“Pengalaman Mexico ada surplus import di mana 1.3 juta rakyat Mexico saat ini menganggur kerana banyak lambakan produk dari Amerika Syarikat,” kata Shafie.

Pengalaman itu katanya perlu diteliti secara mendalam agar Malaysia dijamin tidak akan terikat dengan kuasa besar dunia itu.

“Saya akui bahawa banyak lagi negara belum menyertai (TPPA) seperti Filipina, Thailand, termasuk juga China yang kemungkinan akan menyertai.

Justeru, beliau mahu kerajaan melihat kepada semua kemungkinan yang boleh berlaku demi kepentingan negara dan rakyat.