TPPA Lebih Demokratik Dari PBB, IMF Dan Bank Dunia

98
0
SHARE

Oleh: Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) adalah lebih demokratik kerana segala keputusan dibuat secara bersama dan konsensus.

Menerusi perjanjian perdagangan itu, sebuah suruhanjaya TPPA bakal ditubuhkan dengan semua negara anggota mempunyai kuasa yang sama dan tidak ada satu negara pun memiliki kuasa veto menjadikanya berbeza dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Tabung Kewangan Dunia (IMF) dan Bank Dunia.

“Beberapa negara dalam PBB diberikan kuasa veto, manakala dalam TPPA keputusan dibuat secara bersama atau konsensus manakal IMF dan Bank Dunia, memberikan lebih kuasa kepada negara besar berbanding negara kecil.

“Justeru, TPPA adalah satu perjanjian yang lebih adil dan demokratik berbanding PBB, IMF dan World Bank.”

Tambah Mustapa lagi penyertaan dalam TPPA akan meningkatkan rangkaian perdagangan negara termasuk dengan negara yang belum ada perjanjian perdagangan bebas seperti Amerika Syarikat, Mexico, Peru dan Kanada.

Mustapa juga menyifatkan pembentangan usul tersebut dalam sidang khas Dewan Rakyat hari ini sebagai satu budaya baharu dalam sejarah parlimen dan demokrasi di Malaysia kerana ia dibincangkan secara terbuka dan di bawa ke parlimen untuk mendapatkan mandat rakyat.