TPPA Beri Kesan Positif Jangka Panjang – Mustapa

124
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan memberi kesan positif jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kajian terperinci menunjukkan Malaysia dapat meraih kebaikan dengan menyertai TPPA dan pasti ketinggalan sekiranya tidak menyertai pakatan perdagangan terbesar itu.

“Ramai mungkin tak nampak feadahnya hari ini tapi saya bimbang ekonomi negara-negara jiran lain yang menyertai TPPA akan menjadi lebih mantap sekiranya kita memilih untuk tidak menyertai TPPA,” katanya ketika membentangkan usul mengenai TPPA di mesyuarat khas Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menghadiri sidang khas dua hari itu bermula hari ini. Mesyuarat khas itu membolehkan Ahli Parlimen membahas dan mengundi sama ada Malaysia harus menyertai TPPA. Malaysia adalah satu daripada 12 negara pelopor dalam perundingan TPP yang bermula pada 2010.

Perundingan dimuktamadkan pada Oktober tahun lepas. Negara perunding TPP lain ialah Brunei, Singapura, Vietnam, Jepun, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Chile, Mexico, Peru dan Kanada.

Mustapa menjelaskan tindakan untuk menyertai TPP juga memberi negara kelebihan dalam aspek perundingan dan penetapan syarat perjanjian itu.

Katanya, Malaysia juga adalah satu-satunya negara perunding yang membentangkan perjanjian itu di Parlimen untuk kelulusan.

“Kalau kita pilih untuk menunggu dan masuk kemudian, kita mungkin tidak akan dapat pengecualian yang sama dalam isu seperti Bumiputera, pensijilan Halal dan lain-lain kelonggaran yang telah dirundingkan.

Ini dipanggil kelebihan penggerak pertama,” katanya. Mustapa berkata, jika Malaysia menyertai TPPA selepas itu, perkara yang telah berjaya dimuktamadkan mungkin tidak boleh dirundingkan lagi.

Katanya, Malaysia juga telah memasuki TPPA di atas terma-terma sendiri dan dalam menghadapi TPPA ini, Malaysia perlu ada keberanian.

“Kerajaan harus berani melaksanakan langkah yang mungkin tidak popular dalam jangka pendek. “Saya harap semua pihak dapat menilai TPPA secara objektif serta mengambil kira manfaat jangka masa panjang serta peluang yang mungkin terlepas sekiranya kita tidak menyertai perjanjian ini,” katanya.

Katanya, Malaysia akan menyesal sekiranya tidak menyertai TPPA kerana pelabur akan melihat negara-negara seperti Vietnam sebagai satu destinasi pelaburan yang lebih menarik.

Sambil menunjukkan beberapa produk tempatan seperti komponen automotif (gelung), seluar dan sarung tangan getah kepada Dewan Rakyat, Mustapa berkata produk-produk itu akan menikmati pengecualian duti import, antara manfaat perdagangan bebas yang boleh dinikmati negara-negara di bawah TPPA.

Mengambil contoh produk elektrikal dan elektronik, beliau berkata cukai import yang dikenakan kepada Malaysia untuk memasuki pasaran Amerika Syarikat kini adalah secara purata lima peratus.

Namun dengan terlaksananya TPPA, duti ke atas 99.8 peratus daripada produk ini akan dimansuhkan serta-merta, manakala cukai import yang dikenakan ke atas produk-produk tekstil akan dikurangkan sebanyak 70 peratus pada tahun pertama.

“Syarikat-syarikat pengeluar tekstil dan pakaian tempatan menjangkakan bahawa pelaksanaan TPPA akan membantu meningkatkan hasil eksport sebanyak 30 peratus,” katanya.

Bagi industri automotif, TPPA akan membuka ruang pasaran lebih luas kepada pengeluar komponen automotif tempatan untuk mengeksport ke negara seperti Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico kerana perjanjian memerlukan pengeluar automotif mendapatkan inputnya (komponen kenderaan) daripada negara-negara TPP.

Beliau berkata, jika Parlimen meluluskan untuk menyertai TPPA, perjanjian itu hanya akan berkuat kuasa selepas dua tahun bagi membolehkan pemindaan terhadap undang-undang berkaitan tempatan untuk melaksanakan TPPA.

“Sebanyak 26 pindaan perlu dibuat ke atas 17 undang-undang (tempatan) bagi mengambil kira beberapa persetujuan dicapai oleh negara-negara dalam TPP,” katanya.

Antara akta yang terlibat ialah Akta Kastam, Akta Zon Bebas, Akta Paten, Akta Anti Pengubahan Wang Haram dan Anti Pembiayaan Keganasan, Akta Hakcipta, Akta Kesatuan Kerja dan Akta Agensi Pekerjaan Swasta.

Mustapa menekankan pindaan ke atas undang-undang ini tidak melibatkan pindaan Perlembagaan dan tidak akan menjejaskan dasar-dasar utama negara seperti agenda Bumiputera.

“Sebaliknya, pindaan ini secara amnya adalah bertujuan untuk mengguna pakai amalan-amalan terbaik dalam hal berkenaan buruh, alam sekitar serta hakcipta harta intelek,” katanya.

Beliau berkata, sejak Ogos 2013, beliau telah mengadakan lebih 300 sesi penerangan mengenai TPPA bagi memberi peluang kepada semua anggota lapisan masyarakat untuk memahami perjanjian perdagangan itu dan mengemukakan maklum balas berhubung perkara itu.