TPPA: Adakah Amerika Akan Menjajah Malaysia?

303
0
SHARE

Oleh: Faizal Riduan

Hari ini adalah hari yang ‘panas’ sama seperti 26 Januari lalu, Malaysia menyertai 11 negara lain menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) di Auckland, New Zealand. Pakatan perdagangan yang bertujuan untuk meliberalkan pasaran serta perdagangan yang lebih bebas dan terbuka turut dikaitkan bakal menjejaskan kedaulatan negara dan satu bentuk penjajahan bentuk baru daripada bekas kolonial Amerika Syarikat.

“Adakah tanggapan berkenaan penjajahan Amerika ini benar dan berasas? Terdapat dua perkara yang boleh mempersoalkan hujah di atas,” soal Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Nazari Ismail.

Menurut Nazari, TPPA sendiri ditentang oleh individu dan organisasi yang penting dan berpengaruh di Amerika Syarikat termasuk kedua-dua calon presiden Amerika Syarikat, Hillary Clinton dan Donald Trump. Malah Persekutuan Buruh Amerika – Kongres Pertubuhan Perindustrian (AFL-CIO) iaitu sebuah kesatuan buruh terbesar Amerika Syarikat yang dianggotai oleh 56 kesatuan gabungan dan mewakili lebih 12 juta pekerja menentang TPPA yang bakal mengakibatkan banyak peluang pekerjaan berpindah ke negara-negara yang menawarkan kos buruh yang lebih rendah termasuk Malaysia.

Sebaliknya sokongan yang kuat dapat dilihat daripada banyak pihak di negara-negara selain Amerika Syarikat. Sebagai contoh di Malaysia, TPPA mendapat sokongan yang sangat kuat dari Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Persatuan Pengilang Tekstil Malaysia (MTMA), Persatuan Pengeluar Tenunan Malaysia (MKMA), Persatuan Pengeluar Plastik Mlaaysia (MPMA) dan Persatuan Pengeluar Produk Getah Malaysia (MRPMA).

“Jika kesannya amat buruk kepada negara, kenapakah pihak-pihak di atas begitu kuat menyokong pelaksanaan TPPA?” Soalnya lagi dengan bertanya siapakah sebenarnya yang akan mendapat manfaat dari TPPA ini?TOLAK_TPPA

“Jawapannya ialah bukan negara tertentu tetapi organisasi-organisasi perniagaan yang berdaya saing, tidak kira dari mana negara asal mereka,” jelasnya yang turut mengakui organisasi besar mempunyai kelebihan bersaing dengan dana modal yang lebih besar.

“Kaedah yang digunakan oleh organisasi perniagaan sekarang ialah `pengumpilan kewangan’ (financial leverage) di mana organisasi perniagaan akan menggunakan dana yang dipinjam dari institusi kewangan untuk membiayai operasi mereka. Dengan cara ini sesebuah organisasi akan dapat mengembangkan saiz dan daya saing mereka dengan cepat melalui aktiviti yang tinggi kosnya seperti penyelidikan dan pembangunan, pengiklanan, logistik dan lain-lain.

“Pada masa yang sama, skala pengeluaran juga dapat dibesarkan dengan dana yang besar ini dan dengan itu kos pengeluaran per unit akan dapat dikurangkan. Oleh sebab itulah kita dapati di dalam berbagai sektor, firma yang mendominasi pasaran adalah firma yang bersaiz besar.

“Sebagai contoh, di dalam sektor telekomunikasi, syarikat pengeluar telefon bimbit yang paling berdaya saing adalah syarikat gergasi seperti Samsung, Apple dan Lenovo. Manakala di dalam sektor automotif, firma yang mendominasi industri tersebut adalah Toyota Motor, Volkswagen, Daimler, BMW, Honda Motor dan General Motors (GM). Di dalam sektor farmasutikal pula adalah Johnson & Johnson, Novartis, Roche dan Pfizer,” terangnya dengan panjang lebar.

Walaupun jumlah jualan mereka besar, namun persaingan di kalangan firma gergasi ini sendiri sebenarnya adalah amat sengit serta risiko untuk menjadi muflis. Faktor utama ialah beban kewangan mereka yang juga amat besar.

“Sebagai contoh, semasa krisis sub-prime berlaku di Amerika Syarikat pada tahun 2008, beban hutang GM ialah USD27 billion (atau hampir RM120 billion) dan akibatnya ia hampir jatuh muflis sebelum diselamatkan oleh kerajaan Amerika. Sekarang ini jumlah tanggungan GM adalah USD72 billion manakala jumlah tanggungan semasa Toyota Motors pula ialah USD137 billion. Bagi syarikat farmasutikal terbesar iaitu Johnson & Johnson, beban tanggungan syarikat pada masa ini ialah USD61.3 billion.”

Dengan tanggungan kewangan yang sebegitu besar, suasana perniagaan mempunyai risiko yang sangat tinggi. Jika pendapatan tidak mencukupi atau pasaran diambil oleh pesaing, firma yang pada suatu masa dominan dan kuat boleh menjadi lemah dengan secara tiba-tiba seperti yang telah berlaku kepada syarikat telekomunikasi Blackberry dan Nokia, syarikat penerbangan Northwest Airlines dan syarikat kereta Saab.

Untuk mengelak dari menerima nasib yang sama seperti syarikat-syarikat di atas, maka firma-firma gergasi akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meluaskan pasaran mereka ke luar negara masing-masing sambil mempertahankan kedudukan pasaran di negara asal. Hanya dengan cara ini sahaja mereka akan dapat memastikan hasil jualan yang besar diperolehi bagi menambahkan keuntungan supaya dapat membayar dividen yang memuaskan kepada pemilik saham syarikat mereka serta menjelaskan pinjaman atau tanggungan mereka.

Hakikat yang sama juga dihadapi oleh syarikat perniagaan tempatan yang berniaga di arena antarabangsa. Mereka juga memerlukan jualan yang besar melalui pasaran yang besar untuk memastikan keadaan kewangan mereka kukuh. Inilah sebab utama kenapa pengurusan mereka mendesak kerajaan Malaysia supaya melaksanakan perjanjian TPPA secepat mungkin.

“Jika firma-firma gergasi juga dalam keadaan tertekan walaupun berdaya saing di dalam arena perniagaan antarabangsa, maka siapakah yang sebenarnya mendapat keuntungan dari pelaksanaan TPPA ini?” soalnya lagi yang kemudian menjawab, “firma-firma di dalam industri kewangan kerana merekalah yang membekalkan pinjaman dana kepada semua syarikat gergasi antarabangsa tersebut.

TOLAK_TPPA2Sementara itu, menurutnya yang bakal menerima tekanan ialah golongan pekerja kerana suasana persaingan sengit akan memaksa syarikat-syarikat sentiasa berusaha untuk meminimakan kos sumber manusia untuk terus berdaya saing. Senario pembuangan pekerja, pemotongan gaji atau pekerja dipaksa bekerja lebih masa dengan bayaran yang sama akan berlaku lebih kerap dan meluas di masa akan datang, termasuk di dalam sektor yang pada mulanya mendapat manfaat dari TPPA.

Dengan situasi kegawatan ekonomi, kenaikan kos kehidupan, pengenalan cukai GST dan pasaran kerja yang tidak menentu, kerajaan sepatutnya mempunyai tabungan yang dapat membantu di dalam masa sukar.

“Malangnya kerajaan kita telah gagal menabung semasa harga minyak tinggi dan pendapatannya lumayan. Akibat dari pengurusan kewangan yang tidak cekap, maka kerajaan sendiri sekarang berhutang sebanyak RM700 billion dan oleh itu sebenarnya tidak mampu membantu kecuali dengan menambah kepada beban hutangnya yang sedia ada atau mengutip cukai tambahan dari rakyat,” kritiknya.

Ujarnya lagi melalui TPPA, oleh kerana ianya dilaksanakan di dalam sistem riba yang menjadikan industri hutang sebagai tunjang pertumbuhan ekonomi, maka secara umumnya ia akan mendatangkan keuntungan lumayan kepada segolongan kecil sahaja iaitu pengurusan atasan dan pemilik saham syarikat yang berdaya saing, serta pengurusan atasan dan pemilik saham dalam industri kewangan di negara-negara yang terlibat, terutama sekali pemilik saham di dalam syarikat kewangan utama di Amerika Syarikat seperti Goldman Sachs, Morgan Stanley, JPMorgan Chase, Bank of America Merrill Lynch, dan Citigroup.

“Bagi kebanyakan golongan pekerja yang tidak mampu menyumbang kepada proses penambahan keuntungan syarikat atau tidak mempunyai kemahiran yang relevan kepada keperluan syarikat, mereka tidak akan dapat mengecapi manfaat secara langsung dari TPPA ini. Bahkan kehidupan mereka akan bertambah sengsara jika mereka di bawah belenggu hutang, sama ada mereka adalah rakyat Amerika Syarikat atau rakyat Malaysia.”

Oleh yang demikian simpulnya, TPPA tidak akan menyebabkan Amerika Syarikat menjajah Malaysia dan memonopoli semua perniagaan di Malaysia. Apa yang akan berlaku ialah ianya akan mendedahkan Malaysia kepada suasana perniagaan yang sengit yang dimangkinkan oleh industri hutang yang walaupun pada mulanya menghasilkan suasana perniagaan yang rancak dalam sektor tertentu, tetapi pada akhirnya akan menimbulkan berbagai masalah-masalah ekonomi dan sosial dalam masyarakat.

SHARE
Previous articleAhmad Bashah Angkat Sumpah MB Kedah
Next articleSelangor: Kerajaan Negeri Pilih Kasih Sedia Pembangunan