Tony Pua Gesa Rakyat Sahut Cabaran SPRM

23
0
SHARE

KUALA LUMPUR:Ahli Parlimen DAP, Tony Pua hari ini menggesa rakyat Malaysia untuk membuat laporan mengenai penyelewengan kuasa dan pengubahan wang haram dalam 1MDB dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, tindakan itu selaras dengan gesaan badan anti-rasuah itu baru-baru ini supaya rakyat ‘berani ‘ tampil dan membuat laporan mengenai rasuah.

“Kami menyokong penuh gesaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad agar rakyat Malaysia ‘berani’ untuk melaporkan semua kes rasuah kepada agensi itu,” kata Pua dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, gesaan Dzulkifli itu datang tepat pada masa ketika pendedahan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) AS berhubung penyelewengan dana 1mDB.

Sabtu lalu, ketua pesuruhjaya itu, menasihatkan rakyat Malaysia yang prihatin supaya tidak perlu takut dengan SPRM dan mempelawa orang ramai membuat laporan dengan menghubungi talian hotline suruhanjaya itu atau melalui surat atau e-mel.

Rakyat Malaysia, dakwa Pua, “marah dan terkejut” dengan saman terbaru yang difailkan oleh DOJ pada Khamis lalu untuk merampas semula aset berbilion dolar yang dibeli dengan menggunakan dana yang didakwa dicuri dari 1MDB.

Dalam pemfailan ketiga dan terbaru itu, DOJ meletakkan angka yang didakwa disalahgunakan pada AS$ 4.5 bilion dan sedang berusaha untuk merampas aset bernilai AS$ 1.7 bilion yang dipercayai diperoleh melalui dana yang diselewengkan dari 1MDB.

Antara senarai aset yang bakal dirampas itu, termasuk sebuah kapal layar, barangan kemas, berlian, rantaian pusat kecergasan, dan karya seni.

Dengan maklumat dan bukti yang terkandung dalam saman 251 muka surat itu, Pua berkata semua rakyat Malaysia kini boleh menjadi “berani” dan menelefon nombor bebas tol 1800-88-6000 untuk memfailkan aduan terhadap rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram oleh 1MDB.

Selain itu, katanya, rakyat juga boleh membuat aduan ke atas kedua-dua “Malaysian Official 1″ dan isterinya yang disebut dalam saman itu.

“Lagipun, tidak ada kes rasuah yang melanda negara sekarang ini adalah lebih besar daripada skandal RM42 bilion 1MDB.” – MK