Tindakan Zeti Bahaya Kepada Ekonomi Negara – Blog UMNO

240
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tindakan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, mengarahkan 1MDB membawa pulang USD 1.8 bilion (RM7.5 bilion) ke Malaysia dikatakan berbahaya kepada ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

Dakwaan itu dibuat blog pro-UMNO, mykmu.net yang ditulis editornya yang menggunakan nama KuntaKunte Malaysia.

Blog itu mempersoalkan bagaimana Bank Negara boleh mengarahkan penarikan balik pelaburan di luar negara yang menjadi satu misteri kepada rakyat Malaysia.

“Kamu sudah benarkan pemindahan wang sekarang kamu arahkan mereka pindahkan semula wang tersebut balik ke sini? Apa Bank Negara ingat pelaburan berbilion Ringgit macam arahan pertukaran kerja pegawai kerajaan?,” soal editor itu.

Katanya, pelaburan wang sebanyak itu di luar negara memerlukan kelulusan Bank Negara tetapi tindakan mengarahkan sesebuah syarikat membawa pulang wang yang telah diberi kebenaran ke luar negara sangat tidak masuk akal.

“Adalah sesuatu yang tidak sihat apabila Bank Negara campur tangan dalam urusan perniagaan sebuah syarikat.

“Jika ini dibenarkan berlaku suatu hari nanti Bank Negara boleh sahaja mengarahkan sesiapa sahaja membawa pulang pelaburan mereka di luar negara dan ini akan menimbulkan ‘huru-hara’ yang serius dalam syarikat-syarikat rakyat negara ini,” katanya.

Blog itu mendakwa, tindakan Bank Negara itu bukan kerana kepentingan negara tetapi dendam kebudak-budakan selepas Peguam Negara mengumumkan tiada kes prima facie dalam siasatan Bank Negara ke atas 1MDB.

“Boleh Gabenor Bank Negara jelaskan apa rasional pengumuman penarikan balik ini? Adakah ia memberi faedah kepada negara dan 1MDB? 1MDB ialah syarikat kerajaan bukan milik individu. Jika keputusan Bank Negara ini boleh menjejaskan 1MDB bermakna ia satu sabotaj kepada negara,” katanya. – FMT