Tindakan Tegas Terhadap Pihak Salahgunakan Media Sosial

126
0
SHARE

Oleh: Wartawan MySuara

CYBERJAYA: Tindakan tegas akan dikenakan terhadap  mana-mana pihak yang menggunakan media sosial untuk menyemai kebencian terhadap institusi kerajaan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, ini merupakan antara keputusan yang dicapai pada mesyuarat sulung jawatankuasa khas yang dibentuk baru-baru ini bagi menangani isu penyalahgunaan media sosial, yang dipengerusikan beliau hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, katanya pada majlis prapelancaran Minggu Media Sosial Malaysia 2016 di Limkokwing University of Teknologi Kreatif di sini, petang tadi.

Jawatankuasa berkenaan turut dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Seri Dr Halim Shafie.

“Mesyuarat bersetuju, bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang menggunakan media sosial bagi tujuan memfitnah, menyalahgunakan atau menghasut orang lain untuk memperkecilkan kedudukan atau menyemai kebencian terhadap institusi kerajaan,” kata Salleh.