Tiket Majlis Pembukaan KL2017 Hampir Habis

18
0
SHARE

PUTRAJAYA: Penjualan tiket untuk majlis pembukaan rasmi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) bagaikan goreng pisang panas dan kini hanya tinggal tujuh peratus saja yang belum dijual ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) akan membuka tirai secara rasmi 19 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong berkata tiada pertambahan tiket untuk majlis pembukaan berkenaan.

“Saya dimaklumkan tiket acara perasmian sudah dijual lebih 93 peratus. Sudah banyak kali saya katakan jangan tunggu saat akhir untuk beli tiket bagi mengelakkan membeli tiket pasaran gelap.

“Apa yang dapat saya janjikan ia akan menjadi satu perasmian yang menakjubkan dan di luar jangkaan, jadi beli tiket sekarang,” katanya.

Zolkpels berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan penajaan baru oleh 19 syarikat di sini, hari ini.

Mengulas mengenai langkah mengelak jerebu di KL2017, MASOC mengesahkan pihaknya bersedia dengan sebarang kemungkinan untuk menghadapi perkara itu.

“Ia bukan perkara baru tapi ia satu fenomena alam. Jika anda masih ingat Sukan Komanwel 1998, ada beberapa atlet terkemuka menarik diri.

“SUKMA (Sukan Malaysia) 2013 di UPM (Universiti Putra Malaysia) kita hampir batalkan tapi Alhamdulillah, akhirnya tetap berjalan lancar.

“Berdoalah jerebu tidak berlaku dan tidak akan jejaskan penganjuran temasya ini,” katanya.