Tiga Lelaki Dituduh Culik Kanak-Kanak Di Kajang

114
0
SHARE
KAJANG: Tiga lelaki termasuk seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dalam kejadian di Sungai Chua, pada 9 Oktober lalu.
Riduansyah Yahya, 32, warga Indonesia; pemandu lori, Mohd Saifulamry Jakarsi, 28 dan ahli perniagaan, Siow Kek Keong, 44, hanya mengangguk sambil menjawab `faham’ sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam Muhammad, tepat jam 11 pagi.
Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Mahkamah menetapkan 21 Disember untuk sebutan semula kes.
Pada 10 Oktober lalu, BH melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun diculik tiga lelaki di depan sebuah Tabika di Sungai Chua di sini.
Kanak-kanak itu ditemui merayau oleh pemandu teksi dikenali sebagai Nizam di lokasi yang tidak didedahkan, sebelum diserahkan kepada keluarganya pada jam 5.47 petang. – BH