Tiga Individu Ditahan Berkaitan 1MDB Untuk Bantu Siasatan – TPM

207
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tiga individu yang ditahan polis berkaitan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bertujuan untuk membantu siasatan.

Timbalan perdana menteri berkata, ketiga-tiga mereka diperlukan bagi membantu polis menyiasat kebocoran maklumat yang dikongsikan kepada portal, Sarawak Report dan media sosial.

“Ketiga-tiga mereka ditahan berdasarkan laporan yang telah difailkan. Siasatan itu dilakukan untuk menentukan bagaimana maklumat itu diperolehi … sama ada ia telah dibocorkan oleh seseorang dari SPRM, Jabatan Peguam Negara atau Bank Negara.

“Malah, pihak polis juga tidak terkecuali daripada diambil keterangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita Umno Bahagian Kepong di sini, Ahad.

 Tiga individu yang ditahan ialah bekas ahli lembaga penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Rashpal Singh, Ahli Jawatankuasa Sekretariat Pengubahan Wang Haram Pejabat Peguam Negara, Jessica Gurmeet Kaur dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Sazilee Abdul Khairi.

Ahmad Zahid berkata, siasatan menumpukan sama ada maklumat yang bocor itu telah dijual atau diberi kepada portal Sarawak Report dan portal lain.