Tiada Wang KWSP Dalam Akaun Najib – Zahid

288
0
SHARE

BATU PAHAT: Wang AS$700 juta yang dipindahkan ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden Umno berkata wang itu datang daripada keluarga tertentu di Timur Tengah dan disalurkan melalui pelbagai syarikat untuk mengelakkan perhatian yang tidak diingini.

Dr Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata sejumlah AS$100 juta diberikan dalam bentuk cek di bawah nama Najib manakala baki wang telah diberikan melalui saluran lain.

Beliau berkata tidak ada satu sen pun wang diambil dari KWSP kerana beliau sendiri melihat dokumen derma itu.

“Saya sendiri melihat dokumen itu, salinan asal bukan salinan fotokopi,” kata beliau dalam ucapannya di mesyuarat perwakilan Umno bahagian Sri Gading di Parit Raja di sini Sabtu.

Beliau juga mengingatkan pemimpin Umno supaya tidak menjadi ‘pemimpin bermusim’ yang hanya pergi turun padang ketika pilihan raya atau menjelang pilihan raya umum.

Katanya, pemimpin Umno terutamanya mereka yang berada di peringkat bahagian dan cawangan perlu berada di lapangan pada setiap masa.

“Mereka tidak boleh menjadi pemimpin bermusim. Mereka perlu sentiasa pergi bertemu akar umbi sama ada pilihan raya semakin hampir atau tidak,” katanya.

Dr Ahmad Zahid berkata demikian semasa merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian di sini pada Sabtu.