Tiada Wang Derma Masuk Akaun Peribadi Saya – Tun M

246
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Susulan dakwaan mengatakan derma politik mungkin dimasukkan ke akaun peribadi presiden parti, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan perkara seumpama itu terjadi ketika beliau menerajui parti.

Katanya, ketika beliau menjadi presiden Umno, ibu pejabat parti mempunyai tiga pemegang amanah, termasuk presiden, yang diberi kuasa ke atas akaun bank yang dibuka untuk menerima semua sumbangan.

“Tidak ada satu sen pun dari wang derma untuk pilihan raya yang dimasuk dalam akaun saya.

“Saya sedia semua akaun peribadi saya selama 22 tahun diperiksa oleh orang yang tidak ada kepentingan bagi mengesahkan pengakuan saya ini atau sebaliknya,” katanya dalam posting terbaru di blognya hari ini.Dr Mahathir berkata, semasa meletakkan jawatan, beliau menyerahkan kepada presiden selepasnya semua aset parti iaitu wang tunai melebihi RM200 juta serta saham dan hartanah dengan nilai melebihi RM1.2 bilion.

“Di waktu saya letak jawatan sebagai presiden Umno, saya arah wang tunai dalam bank dan saham-saham serta surat milik hartanah diserah kepada Datuk (kini Tun) Abdullah (Ahmad) Badawi.

“Pegawai yang menyerah ialah (Tan Sri) Nor Mohamed Yakcop dan Noordin Bachik,” tulisnya menjawab dakwaan beliau pernah bertindak sama seperti presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang didakwa menerima wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya untuk kegunaan pilihan raya ke-14 (PRU14).

“Tuduhan ini tidak berasas, semata-mata fitnah,” kata Dr Mahathir.