Tiada Unsur Perkauman Dalam ‘Himpunan Baju Merah’ – Zahid

39
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan “himpunan baju merah” di ibu negara baru-baru ini dengan mendakwa ia tidak mempunyai unsur perkauman dan menghina agama lain seperti didakwa.

Zahid berkata sepanjang himpunan tersebut berlangsung, tiada bukti wujud ucapan yang sensitif dan mendakwa poster-poster tersebar dalam laman media sosial bukan daripada himpunan tersebut.

“Tiada ucapan sensitif dan banner yang tersebar dalam media sosial sudah diubah dari tempat lain.

“Saya mahu beritahu Dewan, tiada satu banner berbau perkauman atau menyentuh mana-mana agama,” kata Zahid, yang juga naib presiden Umno semasa menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Menjelaskan lagi perkara tersebut, Zahid berkata pihak polis sudah menyiasat dan tidak menemui bukti yang dikatakan mempunyai unsur perkauman dan menghina agama lain.

“Ia daripada pihak lain dan saya tidak salahkan mereka yang menentang baju merah tapi pihak lain,” katanya lagi.

Zahid juga berkata, isu mengenai mengapa hanya satu kaum sahaja menyertai himpunan tersebut tidak perlu dibangkitkan kerana himpunan Bersih 4 juga majoriti disertai kaum Cina dan penyokong DAP.

“4.0 (Bersih 4) siapa ramai? Bukankah daripada DAP?

“Yang ramai satu bangsa sahaja, ini apa maknanya? YB jangan tunding jari, berapa peratus Melayu yang sertai 4.0?” kata Zahid menjawab soalan Kok.

Perhimpunan baju merah atau Himpunan Rakyat Bersatu yang diadakan pada 16 September lalu, dikritik kerana retorik perkaumannya walaupun penganjur mendakwa perhimpunan itu sebagai respons kepada Bersih 4.

Perhimpunan yang diadakan badan bukan kerajaan (NGO) pro Umno itu menyaksikan kekecohan di Jalan Petaling, di mana peserta cuba merempuh masuk kawasan yang didominasi peniaga Cina, serta kata-kata kesat seperti ungkapan “Cina babi” dilemparkan.
– INSIDER