Tiada Sebab Untuk Buka UMNO Pada Bukan Melayu – Salleh Keruak

57
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tidak ada sebab untuk Umno membuka keahliannya kepada orang bukan Melayu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Katanya, ini kerana model BN adalah bertujuan untuk membolehkan setiap parti mengekalkan identiti etnik mereka.

Umno, katanya, tidak pernah mendakwa sebagai parti berbilang kaum dan tidak seperti DAP yang mendakwa ia parti berbilang kaum.

“Malah, MCA atau MIC tidak pernah mendakwa sedemikian. Kesemua ketiga-tiga parti mengaku berasaskan etnik,” kata Salleh dalam blognya.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Lim Kit Siang, yang mencabar Umno untuk membuka keahliannya kepada bukan Melayu.

Ini ekoran DAP terus mempertahankan identitinya sebagai parti pelbagai budaya.

DAP mempunyai wakil rakyat dan ahli pelbagai kaum, tetapi sebahagian besarnya terdiri daripada ahli keturunan Cina.

Ini menyebabkan ia dianggap sebagai “parti Cina”, dengan pengkritik mendakwa ia juga anti-Melayu.

Ekoran itu, DAP dilaporkan mempertimbangkan untuk meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu dalam pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Lim menegaskan bahawa ini bukan baru dan DAP telah pun bertanding di beberapa kubu kuat Umno sejak awal penubuhannya pada 1960-an.