Tiada Parti Politik Mampu Bentuk Kerajaan Dengan Satu Kaum – Muhyiddin

353
0
SHARE

SARAJEVO: Tiada parti politik di negara ini mampu membentuk kerajaan dengan hanya bersandarkan kepada satu-satu kaum, walaupun parti politik utama ditubuhkan berdasarkan kaum, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berucap di Sarajevo, Bosnia Herzegovina, mantan timbalan perdana menteri itu berkata, mana-mana parti politik yang berhasrat untuk mentadbir perlu mendapat sokongan meluas pelbagai kaum.

“Tiada parti mampu membentuk kerajaan pusat dengan hanya bergantung kepada sokongan satu-satu kaum, walaupun sistem parti politik kami berasaskan kaum.

“Sistem pilihan raya kami menolak parti politik menggunakan ektremisme kaum dan kepentingan agama. Mereka mengalu-alukan kumpulan sederhana dan menghukum ekstremis,” katanya dalam ucapan tersebut, yang dimuat naik di laman Facebook miliknya.

Muhyiddin berkata, sistem parti politik di Malaysia bersikap sederhana dalam pendirian mereka berhubung isu membabitkan kaum dan keagamaan.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, parti politik yang mempersoalkan hak istimewa Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak akan kehilangan undi daripada pengundi dalam pilihan raya.

“Parti politik yang tidak mengendahkan kepentingan kaum lain akan berhadapan risiko kehilangan peratusan yang tinggi dalam pilihan raya dan akan gagal membentuk kerajaan.

“Akhirnya, parti politik akan menuruti kerangkan Perlembagaan dan mencari keharmonian dan keseimbangan kaum,” katanya.

Dalam ucapannya, Muhyiddin bagaimanapun berkata, beliau tidak mencadangkan agar Bosnia Herzegovina menuruti langkah Malaysia, kerana terdapat perbezaan budaya antara kedua-dua negara.

“Tiada satu saiz yang sama model politik dalam menguruskan kepelbagaian etnik dan agama, tetapi sekurang-kurangnya, aspek terpenting, menjaidi simbol hubungan keharmonian kaum, kestabilan politik, dan perkembangan ekonomi.

“Tanpa keharmonian kaum, tidak akan ada kestabilan politik, dan tanpa politik yang stabil, perkembangan ekonomi tidak akan berlaku,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengucapkan tahniah kepada penganjur Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) kerana kejayaan menganjurkan himpunan baju merah tersebut secara aman tanpa melanggar undang-undang negara.

“Saya ucapkan tahniah pada semua berhimpun pada 16 September kerana kita berhimpun dalam keadaan aman.

“Tidak perlu khuatir kerana tidak ada sepanduk yang menghasut kaum lain, tidak ada gambar keris terbang, tidak ada gambar pemimpin pembangkang dipijak, semua ini tidak ada,” katanya semasa berucap dalam Himpunan Silat Pesaka Merdeka di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Himpunan itu menyaksikan ribuan peserta memakai baju merah berarak menuju ke Padang Merbuk, di Kuala Lumpur, dalam menyatakan sokongan kepada kerajaan dan Najib.

Najib mengingatkan keamanan dalam negara yang dikecapi selama ini adalah kerana sikap adil dan bertimbang-rasa kaum Melayu, serta memberi amaran supaya maruah orang Melayu tidak dicarik-carik.

“Kita hidup dalam sebuah negara yang semakin hari semakin aman dan semakin makmur sebab orang Melayu sentiasa bertimbang-rasa kepada orang lain, orang Melayu bersikap adil dari dulu sampai sekarang, dia adil sesamanya dan adil dengan kaum yang lain.

“Ini orang Melayu, tetapi jangan carik-carik maruah orang Melayu,” katanya. – INSIDER