Tiada Langkah Pengurangan Tenaga Kerja Besar-Besaran Di P.Pinang – Invest Penang

71
0
SHARE

GEORGE TOWN: Tiada langkah pengurangan tenaga kerja besar-besaran di Pulau Pinang meskipun pelbagai industri dan perniagaan menjalankan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan, kata Pengarah Invest Penang, Datuk Lee Kah Choon.

Beliau berkata aktiviti penggabungan dan pengambilalihan adalah perkara biasa yang dilaksanakan, bukan hanya untuk menyepadukan operasi malah disebabkan faktor lain seperti meningkatkan penguasaan pasaran dan sinergi teknologi.

Beliau turut mengesahkan lima syarikat multinasional menjalankan penggabungan dan pengambilalihan, namun ia tidak disusuli dengan langkah pemberhentian tenaga kerja secara besar-besaran.

“Penggabungan dan pengambilalihan berlaku di seluruh dunia antara syarikat semikonduktor dan elektrik serta teknologi elektronik. Pulau Pinang, sebagai hab elektronik, dengan banyak syarikat antarabangsa di sini, sentiasa dipengaruhi,” katanya kepada pemberita semasa taklimat media mengenai unjuran industri di sini Selasa.

Beliau berkata lima syarikat multinasional itu adalah AMD Semiconductor, Motorola Solutions, SanDisk, Amphenol dan Dell, bagaimanapun kebanyakannya berkaitan kemudahan pembuatan mereka.

“Selepas langkah penggabungan dan pengambilalihan, hanya pekerja Amphenol akan menerima kesan, dengan syarikat menyepadukan bahagian barangan pengguna mudah alihnya di Asia Pasifik. Namun, mereka turut mengambil lebih banyak pekerja untuk dua kemudahan mereka di Bukit Minyak,” katanya.

Lee berkata AMD memeterai usaha sama dengan Nantong Fujitsu Microelectronics Co, China dan ia melibatkan kilang di Pulau Pinang dan China, dengan tiada pelan untuk mengurangkan tenaga kerja di Pulau Pinang.

Bagi Motorola pula, beliau berkata kilang pembuatan syarikat di Bayan Lepas akan diambil alih oleh Sanmina Corp pada awal 2016.

Semua pekerja sedia ada akan dipindahkan kepada Sanmina.

“SanDisk akan diambil alih oleh Western Digital dan urus niaga itu dijangka dimuktamadkan menjelang suku ketiga tahun depan, manakala Dell membeli EMC pada US$67 bilion (RM281 bilion),” kata Lee.

Bagaimanapun, Lee yang juga Penasihat Khas kepada Ketua Menteri, menafikan bahawa pembuat sistem automatif Jerman, Blaupunkt Malaysia dan HGST Technologies, anak syarikat milik penuh Western Digital, akan menutup kilang mereka di Pulau Pinang.

“Saya telah menghubungi kedua-duanya dan mereka menafikannya. Mengenai khabar angin pemberhentian kerja oleh Western Digital, saya diberitahu ia adalah tidak benar mengenai perkara itu,” katanya

SHARE
Previous articleMalaysia Berusaha Rapatkan Jurang Undang-Undang Syariah, Common – Ahmad Zahid
Next articleTiada Rakyat Malaysia Terlibat Dalam Gempa Bumi Afghanistan