Tiada Istilah Merajuk, Boikot – Puteri UMNO

11
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Puteri UMNO memberi jaminan tidak akan memboikot atau mensabotaj calon Barisan Nasional (BN) yang akan diketengahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata kesepakatan berkenaan diterjemahkan menerusi akujanji pada persidangan pergerakan sayap paling bongsu itu, semalam.

“Saya sendiri memberi jaminan bahawa meskipun tiada calon daripada Puteri UMNO yang diketengahkan pada PRU-14, kita tidak akan sesekali merajuk, memboikot atau sabotaj parti.

“Paling penting ketika ini, kita serahkan kepada pucuk kepemimpinan kerana PRU-14 adalah keutamaan dan bakal membawa cabaran getir.

“Oleh itu, jika pucuk kepemimpinan membuat keputusan untuk tidak memilih calon daripada Puteri, kami akur,” katanya ditemui pemberita selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, seluruh jentera pergerakan sayap itu akan memikul amanat Presiden UMNO, terutama dalam menjejaki pengundi wanita dan golongan muda.

Selain itu, katanya, Skuad Puteri Peduli akan menjelajah ke pelosok negara dalam menyebarkan agenda dan kejayaan dicapai kerajaan, sekali gus membetulkan persepsi negatif yang dilemparkan segelintir pihak.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan, menyuarakan keyakinan penjelasan dikemukakan Najib bahawa parti keramat Melayu itu bukan anti Cina berupaya menjernihkan keadaan.

Ahmad berkata, keterbukaan yang dicerminkan pucuk kepemimpinan tertinggi dijangka mengembalikan sokongan Cina selepas tsunami peralihan masyarakat berkenaan pada PRU-13 dan PRU-12.

“Masyarakat Cina sebelum ini tersilap perkiraan, namun kita percaya mereka sudah mula sedar bahawa apa yang dimomokkan pembangkang mengenai pelbagai perkara adalah sekadar dakyah dan omongan kosong.

“Oleh itu, mereka akan kembali menyokong BN demi kelangsungan pembangunan negara,” katanya.