Tiada Harapan Tanpa PAS

788
0
SHARE

Pakatan_HarapanOleh: Faizal Riduan

Dari Barisan Alternatif tahun 1999 sehingga yang terbaharu Pakatan Harapan, gabungan parti-parti pembangkang utama paling berjaya dalam sejarah pilihanraya di Malaysia sejak  1955 mungkin akan tinggal sejarah jika PAS tidak menyertai gabungan baharu itu lagi.

PAS pernah mengetuai gabungan pembangkang apabila presidennya, Dato’ Fadzil Mohd Noor menjadi Ketua Pembangkang pasca PRU-11, tahun 1999. PAS ketika itu muncul sebagai parti pembangkang paling kuat dengan kemenangan 27 kerusi Parlimen, 98 kerusi DUN dan berjaya merampas kerajaan negeri Terengganu. DAP hanya berpuas hati dengan 10 kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN sementara PKR hanya mendapat 5 kerusi Parlimen dan 4 kerusi DUN.

Dalam PRU-13 lalu, pencapaian PAS merosot dengan 21 kerusi Parlimen dan 85 kerusi DUN sementara PKR dengan 30 kerusi Parlimen dan 49 kerusi DUN dan DAP dengan 38 kerusi Parlimen dan 95 kerusi DUN.

Pembangkang sebenarnya berpotensi untuk menafikan kerajaan Barisan Nasional yang menang tipis di 51 kerusi Parlimen merangkumi 30 kerusi majoriti Melayu, sembilan kerusi campuran dan 12 kerusi Bumiputera.

Kebanyakan kerusi BN menang tipis ialah kerusi yang ditandingan dengan PAS atau PKR di semenanjung atau dengan PKR dan DAP di Sabah dan Sarawak. Peranan merampas kerusi yang BN menang tipis ini hanya boleh dimainkan oleh PAS dan PKR bukan DAP yang telah berjaya menang besar di kerusi majoriti Cina.

Sebaliknya jika gabungan pembangkang baharu dibentuk tanpa penglibatan PAS, jangankan untuk merampas kerusi berpotensi tersebut, mempertahankan kerusi sedia ada juga sesuatu yang sukar dan mencabar terutamanya di 29 kerusi Parlimen yang dimenangi PR dalam PRU lalu dengan majoriti tipis merangkumi 20 kerusi majoriti Melayu, empat majoriti Cina dan lima campuran.

Malah 60 kerusi selamat PR mungkin sudah tidak selamat lagi. Daripada jumlah tersebut, 16 kerusi majoriti Melayu dan 18 kerusi campuran berada dalam keadaan merbahaya berbanding dengan 25 kerusi majoriti Cina dan satu kerusi majoriti Bumiputera di Sarawak yang kekal selesa di bawah DAP.

Kekalahan yang tidak disengajakan di Kota Damansara dan Semenyih membuktikan bahaya pertandingan lebih daripada satu penjuru akan memberikan kelebihan kepada BN. BN melalui calonnya Halimaton Saadiah berjaya merampas semula Kota Damansara walaupun hanya memperolehi 16,387 undi berbanding undi pecah antara Dr Nasir Hashim (PKR) dengan 14,860 undi dan Ridzuan Ismail (PAS) dengan 7,312 undi.

Walau pun undi yang diperolehi PAS lebih kecil berbanding PKR, termasuk sehingga ke tahap kehilangan wang deposit seperti di Sungai Acheh, Pulau Pinang, keberadaan PAS dalam pertandingan tiga penjuru bakal meranapkan harapan pembangkang.

Situasi yang sama juga boleh dilihat pada parti kecil seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang tidak dijemput dalam gabungan baharu Pakatan Harapan. Dalam PRU lalu, PR yang berpotensi memenangi DUN Semenyih kehilangan peluang keemasan apabila PSM meletakan Arutchelvan Subramaniams yang mendapat 5,568 undi bertembung dengan Hamidi A Hasan (PKR) dengan 13,471 undi. Ini memberikan kelebihan kepada Johan Abd Aziz (BN) dengan 17,616 undi.

Maka tidak hairanlah dalam PRK Kajang, Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad menasihati PSM untuk tidak bertanding melawan BN dan PKR. Hari ini, nasihat Khalid masih terpakai walau pun Parti Amanah Negara dijangka bakal meletakan calon untuk kerusi yang ditandingi dan sandang PAS.

Krisis gabungan pembangkang baharu ini pasti akan melebar sehingga ke rundingan pembahagian kerusi dalam PRU-14 nanti. Walau pun tidak sukar untuk DAP mempertahankan kerajaan Pulau Pinang sejak 2008 dan PAS menpertahankan kerajaan Kelantan sejak 1990, kerajaan PR di Selangor boleh kembali kepada BN jika kerajaan campuran antara parti pembangkang gagal dibentuk.

Kerajaan negeri Selangor yang paling berisiko jatuh disebabkan tanpa PAS seperti kejatuhan Kerajaan Gagasan Rakyat di Sabah berikutan keluarnya Adun-Adun PBS atau kemunculan Amanah sendiri akan memecah-belahkan pengundi seperti krisis konflik Pesuruhjaya PAS Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak dengan Timbalannya, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi sehingga menjatuhkan Kerajaan PAS di Kedah.

Gabungan pembangkang versi baharu tidak akan mampu menggantikan BN tanpa PAS. Meminggirkan PAS beerti Pakatan Harapan akan mara ke Putrajaya tanpa melalui jajaran sokongan dari sebahagian Utara dan Pantai Timur.

Pakatan Harapan mungkin akan terkandas di Kelana Jaya atau Subang Jaya berikutan sokongan berbelah bahagi dan tidak menentu di kawasan tengah Semenanjung. Pasca PRU-14, nama gabungan Pakatan Harapan mungkin akan ditertawakan sebagai ‘Pakatan Tinggal Harapan’ atau ‘Pakatan Harapan Yang Tak Kesampaian’.