“Tiada GST Tanpa Kelulusan Kabinet” – Johari

24
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Sebarang pengenaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) terhadap mana-mana barangan baharu perlu melalui kelulusan Kabinet berkuat kuasa serta-merta, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau mengulas mengenai pengumuman pembatalan GST ke atas tambahan 60 lagi barangan makanan berkuat kuasa 1 Julai, 2017 yang dibuat oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia, semalam.

“Item tersebut memang tidak sepatutnya dikenakan GST buat masa ini. Saya sudah beritahu kepada pihak kastam setiap barang yang hendak dikenakan GST perlu dibawa ke peringkat Kementerian Kewangan dan kita akan bawa ke Kabinet.

“Ia tidak boleh dikenakan (GST) tanpa kelulusan Kabinet,” katanya kepada pemberita semasa majlis Iftar Perdana Kementerian Kewangan di Putrajaya, semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Johari berkata, cadangan pengenaan GST terhadap 60 item makanan tersebut dibuat di peringkat Jabatan Kastam tanpa sebarang rujukan dengan kementerian untuk dimuktamadkan.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa pembatalan GST ke atas barangan makanan itu adalah bersifat politik, memandangkan langkah tersebut diambil setelah mengambil kira kos hidup rakyat.

“Jangan buat spekulasi,” katanya.

Media tempatan melaporkan lebih 60 makanan tertentu yang berkadar sifar akan dikenakan GST enam peratus bermula 1 Julai tahun ini selepas merujuk kepada Perintah Cukai Barang Dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) (Pindaan) (No. 2) 2017 yang telah diwartakan pada 6 Jun 2017 melalui P.U. (A) 162, dan akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2017.

Implikasi kepada pewartaan Perintah itu akan menyebabkan lebih daripada 60 item makanan seperti ikan belut, ikan todak, jagung, sayuran sejuk beku, buah-buahan import (avocado, apricot, anggur, ceri, peach, plum) figs, marjerin dan lain-lain akan tertakluk kepada GST enam peratus.