Tanah FELDA: Pengkhianat Amanah Perlu Dihukum

34
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Felda Malaysia (MBF) Negeri Johor menggesa pengkhianat amanah dihadapkan ke muka pengadilan dan dihukum supaya menjadi pedoman buat pemegang amanah yang lain.

Merujuk pada kes pindah hak milik tanah FELDA, Pengerusi MBF Negeri Johor, Manndzri Nasib, berkata tindakan pemegang amanah FELDA melepaskan hak FELDA jelas membuktikan mereka membelakangkan Perdana Menteri dan warga FELDA.

“Mereka jelas membelakangkan Perdana Menteri sebagai Menteri Hal Ehwal FELDA apabila membuat keputusan sendiri dalam hal tanah itu.

“Ia jelas menunjukkan pemegang amanah ini mengkhianati amanah Perdana Menteri dan warga FELDA, justeru perlu dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan BH mengenai FELDA yang hilang hak milik tanah di jalan Semarak, di ibu kota.

Tanah bernilai lebih RM200 juta yang kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) dipercayai bertukar milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Manndzri berkata, perkara yang berlaku itu amat mengecewakan dan mungkin berlaku disebabkan muslihat peribadi pihak tertentu.

Berikutan itu, katanya, MBF Negeri Johor menyokong tindakan dan keberanian Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan pasukannya, yang melakukan semakan dan prosedur perundangan untuk mengambil semula hak tanah FELDA.

“Tindakan berani beliau amat terpuji, malah MBF Negeri Johor akan terus menyokong penuh usaha ini, semoga kita meraih semula hak tanah FELDA ini kembali,” katanya.

Semalam, Shahrir pada sidang media khas berkata,

Lembaga Pengarah FELDA tidak lagi berminat untuk meneruskan pembinaan KLVC dan menegaskan FELDA mahu mendapatkan semula tanah itu. – BH