“Rakyat Takut, Saya Pun Rasa Takut” – Tun M

1091
0

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa “takut” apabila undang-undang negara ini didakwa tidak lagi melindungi rakyatnya.

Mengulas keputusan peguam negara berhubung kertas siasatan wang dana RM2.6 bilion dan SRC International, Mahathir berkata masyarakat juga “takut” untuk bercakap tentang sesuatu isu kerana terhalang dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Menurut Mahathir, rakyat bagaimanapun ingin tahu kandungan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan isu sumbangan RM2.6 bilion ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

“Ramai orang mesti tahu kandungan kedua-dua laporan (SPRM dan BNM). Tetapi mereka semua telah melihat apa yang boleh berlaku walaupun apabila seseorang membuat laporan polis. Dan mereka takut.

“Saya juga takut. Di Malaysia, undang-undang dan peraturan tidak lagi melindungi rakyat. Sebagai contoh OSA digunakan untuk menghalang sesuatu laporan daripada sampai kepada rakyat. Sebaliknya, rakyat kini terdedah kepada penyalahgunaan OSA dan mereka mungkin akan dipenjara.

“ISA pun tidak takutkan rakyat sampai begini,” katanya dalam tulisan terbaru di blognya hari ini.