25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, September 21, 2018

ICQS Tebedu Dinaik Taraf Atau Bina Baharu – Zahid

29
0

TEBEDU: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Kese­lamatan (ICQS) Tebedu akan dinaik taraf atau dibina baharu bagi memastikan imej dan keberkesanan maksimum perkhidmatan semua agensi dan jabatan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatankuasa teknikal tersebut akan dikoordinasikan oleh Timbalan Menteri Dalam Ne­geri I, Datuk Nur Jazlan Mohamed sebelum dibawa kepada pasukan petugas dipengerusikan beliau bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, dalam masa 14 hari, jawatankuasa teknikal itu akan bermesyuarat dan 14 hari kemudian akan menyediakan laporan berkaitan kepada pasukan petugas sebelum dibawa kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Kemudian ia akan dibentang­kan kepada Kabinet untuk mendapat pengesahan. Hanya kira-kira 60 hari proses ini berjalan untuk dibawa ke mesyuarat Kabi­net.

“Tindakan ini bagi menangani beberapa isu iaitu keselamatan sempadan yang perlu dilihat secara keseluruhannya, mengguna­kan sepenuhnya kemudahan pe­labuhan darat, memperting­kat­­kan perdagangan Malaysia-In­donesia terutama penggunaan pelabuhan Kuching atau pelabuhan bersesuaian dan menggalakkan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Mustafar Ali dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T. Subromaniam.

Lawatan kerja beliau bagi meninjau keadaan infrastruktur ICQS Tebedu lanjutan daripada Rundingan Tahunan Ke-12 antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) di Kuching pada 22 November lalu.

Hasil perbincangan, Najib dan Jokowi secara prinsip telah bersetuju agar kawasan sempadan Tebedu-Entikong (Sarawak dan Kalimantan di Serian) yang sebelum ini ditutup, dibuka semula selepas Perjanjian Dagangan Sempadan (BTA) dan Perjanjian Rentas Sempadan (BCA) yang kini masih dalam perbincangan untuk dimeterai kedua-dua negara.

MySuaraFM
MySuaraTV