Audit: Pengurusan Memuaskan, Bayaran Mengecewakan

41
0

KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara memperakui pengurusan Tabung Modal Pusingan-Jabatan Pembangunan Koperasi (TMP-JPK) memuaskan dari aspek permohonan, kelulusan dan pengeluaran pinjaman serta penyediaan cagaran pinjaman memenuhi syarat dan prosedur ditetapkan.

Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 2016 yang dijalankan antara Disember 2016 hingga April 2017 mendapati TMP-JPK memenuhi objektif penubuhannya dalam menyalurkan dana kepada koperasi bagi membiayai projek yang diusahakan.

Bagaimanapun, laporan mendapati soal pengurusan bayaran balik, tindakan undang-undang dan mekanisme pemantauan tidak memuaskan kerana tidak dilaksanakan dengan berkesan.

“Kegagalan mengutip bayaran balik pinjaman bagi 526 akaun berstatus pinjaman tidak berbayar (NPL) membabitkan jumlah RM239.56 juta boleh menjejaskan operasi pengeluaran pinjaman TMP-JPK.

“Sebanyak 12 koperasi tidak pernah membuat bayaran balik berjumlah RM3.32 juta. Sembilan daripada koperasi itu tamat tempoh bayaran balik masing-masing.

“Begitupun, tiada tindakan undang-undang dimulakan ke atas peminjam ingkar walaupun 40 akaun dengan nilai NPL RM11.23 juta dicadangkan untuk dikenakan tindakan undang-undang pada Jun 2014.

“Di samping itu, tindakan merampas cagaran peminjam tidak diambil bagi mendapatkan baki bayaran dan tiada pemantauan kemajuan fizikal projek/aktiviti dilaksanakan kerana masalah kekurangan kakitangan,” menurut laporan itu.

Bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan TMP-JPK, Suruhanjaya Koperasi Nasional (SKM) mencadangkan mekanisme pemantauan dikaji semula, membabitkan SKM di negeri/wilayah dalam membantu pemantauan, khususnya bagi mendapatkan semula tunggakan bayaran balik pinjaman.

“SKM turut menetapkan dasar pengenaan cagaran yang bersesuaian terhadap pinjaman di bawah RM50,000 bagi mengurangkan risiko pinjaman tidak berbayar oleh koperasi.

“Ini termasuk mengambil tindakan undang-undang seperti mencairkan cagaran pinjaman atau tindakan saman sivil bagi penghutang yang gagal membuat bayaran balik pinjaman dan mengambil tindakan terhadap pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab seperti ditetapkan,” katanya.