Terima Kontrak Sosial Negara Terus Makmur – Raja Muda Perlis

64
0
SHARE

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah setiap rakyat Malaysia hendaklah memahami serta menerima kontrak sosial dan perlembagaan sejak penubuhan Malaya dan pembentukan Malaysia.

Titah baginda perkara itu menjadi asas kerukunan negara yang menghindar peristiwa 13 Mei 1969 daripada berulang yang membolehkan masyarakat dapat hidup aman dan harmoni sehingga kini.

“Saya juga berharap agar rakyat membuang sifat tamak haloba dan saling mencemburui kerana ia hanya mendorong kepada kemusnahan negara.

“Kedua-dua sifat ini hendaklah diganti dengan perpaduan dan dijadikan budaya dalam kehidupan selain toleransi dan saling hormat menghormati adat resam serta kepercayaan masing-masing,” titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda bertitah merasmikan majlis ‘Sehati Sejiwa, Membudayakan Perpaduan, Meraikan Kepelbagaian, Setulus Kasih’ anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Perlis di sini, semalam.

Berangkat sama pada majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man turut hadir.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah nilai yang mempengaruhi pembinaan sikap seperti angkuh, pertelingkahan dan perpecahan boleh dielak dengan memberi penekanan terhadap sistem pendidikan yang menekan pada nilai perpaduan.

“Slogan perpaduan hendaklah dihayati sepenuhnya, bukan sebagai perhiasan sahaja,” titah baginda dan menegaskan, sikap terpuji boleh dilihat apabila rakyat pelbagai kaum saling bantu membantu terutama semasa negara dilanda musibah.

Titah Tuanku Syed Faizuddin sikap terpuji ini harus dijadikan asas dan sandaran pembinaan dan pengukuhan perpaduan rakyat untuk memacu kegemilangan negara dan menghakis sifat tamak haloba serta saling mencemburui.

Bersempena majlis itu baginda berkenan melancarkan ‘Skuad Uniti Negeri Perlis’ dan menyampaikan sijil penghargaan dan pelantikan ‘Sahabat Perpaduan Negeri Perlis.’

SHARE
Previous articleGempa Afghanistan: Jumlah Kematian Meningkat Kepada 280
Next articleSKMM Bina Lebih 900 Menara Telekomunikasi Sehingga September