Tentera Darat Gerakkan Aset Di Kawasan Berisiko Banjir

156
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Darat mula mengerakkan asetnya ke beberapa kawasan berisiko sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka melanda negara pada hujung tahun.

Tanpa mendedahkan jumlah aset serta anggota terlibat, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata aset seperti bot telah digerakkan ke kawasan berisiko seperti Kemaman dan Dungun di Terengganu.

“Kita juga sediakan anggota untuk menghadapi banjir cuma sekarang kita tidak tahu taburan hujan macam mana.

“Kalau lihat kejadian banjir tahun lepas, ia berlaku di Terengganu dan Kelantan tetapi kita tidak ambil mudah kemungkinan banjir di Johor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Tentera Darat Tahun 2015 di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persediaan menghadapi bencana banjir oleh Tentera Darat pada tahun ini.

Pada majlis berkenaan, Markas pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat muncul juara keseluruhan bagi Anugerah Pengurusan dan Inovasi Tentera Darat tahun ini.

Mohamed Afandi turut melancarkan buku bertajuk ‘Knowledge of Experience Sharing Cases On : Leadership and Management’.

Mengulas mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) guru besar Sekolah Kebangsaan Keramat 1, Kuala Lumpur, Jashiah Rabu, 53, yang hilang, Raja Mohamed Affandi berkata pihaknya sedia untuk mengerakkan anggota sekiranya pasukan sedia ada memerlukan bantuan mereka.

“Kita (Tentera Darat) tidak terlibat dalam operasi SAR namun kita sedia membantu dari segala aspek sekiranya diperlukan,” katanya.

Jashiah kali terakhir dilihat jirannya keluar dari rumahnya pada petang 23 Okt lepas dan apabila suaminya Ruzilan Omar, 57, pulang didapati rumah mereka terbuka dan Jashiah tiada di rumah.

Difahamkan, Jashiah menghala ke kawasan Hutan Simpan Bukit Kutu selepas keluar dari rumahnya di Taman Seri Seruling dengan berjalan kaki dan menumpang kereta orang lain sejauh kira-kira 10 kilometer.