Teksi Percuma Untuk Ibu Mengandung Mulai Tahun Depan

163
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bermula Januari tahun depan warga Kuala Lumpur khususnya ibu mengandung tidak perlu lagi bimbang dengan masalah pengangkutan untuk ke hospital.

Ini kerana mereka boleh mendapatkan perkhidmatan teksi secara percuma sempena kempen Perkhidmatan Teksi Percuma Untuk Bersalin.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk P Gunaseelan berkata program yang pertama kali diadakan di Malaysia ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial Persatuan Pemandu Teksi Makkal Communication Kuala Lumpur.

“Sejak kebelakangan ini kita mendapat banyak aduan dari pemandu teksi bahawa mereka ini pembuli serta tidak berlaku adil kepada pengguna, namun ia hanya sebilangan kecil pemandu teksi.

“Tetapi melalui kempen ini memperlihatkan bahawa masih ramai lagi pemandu teksi yang baik hati dan prihatin,” kata Gunaseelan kepada pemberita selepas melancarkan kempen Perkhidmatan Teksi Percuma Untuk Bersalin di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Gunaseelan berkata kempen tersebut akan mula beroperasi pada 2 Januari 2016 di sekitar Kuala Lumpur.

Kata Gunaseelan, sebagai permulaan sebanyak 50 buah teksi akan terlibat dalam kempen ini dan ia melibatkan penghantaran ke hospital kerajaan iaitu Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Ampang.

Tegas Gunaseelan lagi, inisiatif ini bagi memudahkan golongan berpendapatan rendah khususnya wanita bersalin untuk berurusan dengan hospital.

“Program ini dibuat khas bagi membantu golongan berpendapatan rendah seperti mereka yang berada di kawasan PPR, di mana kita tahu ambulans sukar untuk memasuki kawasan tersebut kerana kekurangan tempat letak kereta yang menyebabkan halangan kepada laluan ambulans.

“Melalui kempen ini juga mereka yang memerlukan perkhidmatan teksi ini hanya mengambil masa 20 minit untuk sampai dan ini adalah percuma,”kata Gunaseelan lagi.

Bagaimanapun, penumpang atau ibu mengandung tersebut perlu mendapatkan pengesahan doktor atau pegawai perubatan untuk perkhidmatan tersebut.

Gunaseelan berkata langkah tersebut dibuat bagi mengelak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Justeru, Gunaseelan berharap usaha murni ini akan mendapat sokongan serta kerjasama semua pihak bagi melaksanakannya.

“Saya berharap program ini akan mendapat sambutan oleh seluruh rakyat Malaysia, program ini juga telah mendapat makluman Datuk Bandar Kuala Lumpur dan beliau memberikan persetujuannya.

“Ini satu program yang mulia dan saya meminta kerjasama dari semua pihak supaya bersikap tanggungjawab sekali gus menjayakan kempen ini,” tambah Gunaseelan lagi. – MK