Tegur Presiden UMNO Dengan Sopan Dan Beradab – Shabery Cheek

181
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegur ahli UMNO supaya menjaga tatatertib apabila membuat teguran atau kritikan terhadap pemimpin tertinggi parti.

Katanya, beliau sedari ada ahli UMNO yang tidak puas hati dengan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi teguran mesti dibuat secara adab dan santun.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu mengulas tindakan seorang ahli Wanita UMNO Langkawi yang menuduh Najib sebagai ‘penipu’.

“Saya tahu ramai yang keliru dan ingin menyampaikan dan meluahkan perasaan masing-masing.

“Apa yang saya ingin nasihatkan, kita boleh tegur pemimpin kita, tapi dengan cara santunnya,” katanya selepas Program Ramah Mesra Pertubuhan Peladang Kebangsaan pada Selasa.

Shabery berkata, UMNO sebagai parti orang Melayu dan parti tunggak dalam membela bangsa Melayu seharusnya mengikut adab dan susila sebagai orang Melayu.

“Kita boleh menegur, tapi dengan nasihat dan adab yang baik seperti kita menegur ibu bapa.

“Mungkin kita banyak tidak setuju dengan ibu bapa kita, tapi kita tak herdik di khalayak ramai.

“Sama juga jika ada yang tidak senang dengan bekas pemimpin kita termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, saya melarang dan tidak benarkan orang keluarkan kata-kata kesat terhadap beliau,” tegasnya.