Tayar Belakang Pesawat AirAsia Meletup Sebaik Mendarat Di Sibu

83
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pesawat A320 AirAsia tidak dibenarkan berlepas di Lapangan Terbang Sibu malam tadi, selepas tayar belakangnya meletup sebaik sahaja mendarat kira-kira 7.20 malam tadi.

Pengurus Malaysia Airport Berhad Sibu, Zainuddin Abu Nasir berkata kesemua138 penumpang serta enam anak kapal penerbangan AK6440 itu tidak mengalami kecederaan, dan pesawat tidak dibenarkan berlepas setelah diarah ke ‘Bay 3’, sebaik sahaja mendarat.

Beliau berkata kejadian itu mengakibatkan satu unit lampu di tepi landasan mengalami kerosakan, namun ia tidak menjejaskan jadual lain-lain penerbangan, malam tadi.

“Pesawat sudah diletakkan di ‘open bay’ kami dan sedang dibaiki manakalalampu landasan sudah ditukar,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata penumpang yang sepatutnya menaiki penerbangan Sibu-Kuching pada 7.50 malam ini, terpaksa menunggu sebuah pesawat AirAsia lain yang dijadual berlepas pagi ini.

Menurutnya punca insiden masih dalam siasatan.

Sementara itu, difahamkan kejadian tersebut mengakibatkan kelewatan selama beberapa jam bagi dua lagi penerbangan, MH3383 ke Kuching dan MH3660 ke Miri.