Tarif Air Naik, Tapi Rakyat Tak Terbeban – Azmin

171
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin memberi jaminan bahawa sebarang kenaikan tarif air di Selangor tidak akan memberi kesan kepada rakyat.

Katanya, skim penstrukturan itu pasti akan memberi implikasi kos untuk memastikan pengurusan air lebih berkualiti dan efektif.

“Kerajaan Negeri memberi jaminan dan akan memastikan sebarang kenaikan tarif tidak membebankan pengguna dan rakyat Selangor. Sebarang aset air yang diserah kepada PUB perlu penambahbaikan tetapi aset air yang kekal pemilikan Kerajan Negeri akan dibiayai Air Selangor.

“Itu antara salah satu mengapa kita mengambil keputusan hasil daripada akta wasia yang diluluskan dalam parlimen supaya industri perkhidmatan air tidak diswastakan dan kembali kepada Kerajaan Negeri,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali).

Mengulas berkenaan pengambilan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH), Azmin berkata ia masih belum dimuktamadkan dan proses perbincangan masih berjalan yang akan berakhir pada September 2016.

“Pengambilalihan SPLASH masih belum dimuktamadkan kerana pemegang saham utama menolak tawaran awal yang diberikan Kerajaan Negeri. Maka, kita sudah melantik penilai bebas untuk membantu melihat apakah nilai yang adil untuk diberikan dan imbangan dalam pengambilalihan SPLASH kelak,” katanya.

Katanya, harga tawaran untuk pengambilalihan tiga syarikat konsesi air secara keseluruhan berjumlah RM1.68 bilion iaitu RM1.07 bilion untuk pengambilalihan Puncak Niaga dan RM0.52 bilion untuk pengambilalihan Syabas dan RM0.09 bilion untuk Abbas.