Tarekat Dan Tasawuf Sinonim

351
0
SHARE

Oleh: Faizal Riduan

PUTRAJAYA: Pengamalan tarekat sufi dan ilmu tasawuf sebenarnya adalah disiplin ilmu yang sinonim, saling berkaitan dan berhubung antara satu sama lain menurut Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Madya Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar.

“Ilmu tasawuf bukan suatu disiplin ilmu yang baharu diperkenalkan dalam dunia Islam sebaliknya ia telah diaplikasikan dalam kehidupan Rasulullah SAW seperti juga penghayatan ilmu akidah dan fekah,” jelasnya walaupun ketika itu belum wujud istilah khusus untuk disiplin-disiplin ilmu tersebut.

Oleh itu, tidaklah menghairankan apabila istilah tasawuf mempunyai hampir 2,000 definisi yang secara umumnya merujuk kepada sifat membenarkan hati untuk menjadi hamba Allah SWT.

Antara definisi yang memperihalkan kemuncak penghayatan dalam mentauhidkan Tuhan adalah melalui Imam Al-Junayd yang menyifatkan tasawuf sebagai “Allah mematikan anda dari diri anda dan menghidupkan anda dengan-Nya.”

“Pada zaman Rasulullah SAW, ilmu akidah merujuk kepada makna iman, manakala ilmi fekah merujuk kepada makna Islam dan ilmu tasawuf merujuk kepada makna ihsan,” tambahnya memetik hadis Jibril yang mashyur.

Menurutnya lagi, hubungan tasawuf dan tarekat ini perlu digabungjalinkan untuk memberikan pengalaman kerohanian yang sebenar.

“Pandangan yang menyatakan seseorang yang bertawasuf tidak perlu bertarekat kerana tawasuf dan tarekat adalah dua perkara berlainan dan tidak berkaitan antara satu sama lain, adalah suatu kesilapan yang perlu diperbetulkan,” terangnya di Simposium Tarekat Tasawuf anjuran Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA).

Kemuncak program tersebut ialah himpunan terbesar ahli zikir sempena Zikir Perdana yang akan berlangsung malam ini di Masjid Putra.