‘Tangkaplah’, Kata Tun M Kepada Polis

1438
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh menangkapnya sekiranya mereka mahu menyoal siasat beliau berhubung penyertaannya dan ucapannya dalam demonstrasi Bersih 4 yang berlangsung hujung bulan lalu di ibu negara.

“Itu hak dia orang…tangkaplah, apa nak kerjasama pula,” katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Subang, Selangor.

Dr Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali disambut sekitar hampir 100 penyokongnya sejurus beliau tiba dari Republik Czezh sekitar jam 11.15 pagi.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, beliau akan memberi kerjasama sekiranya dipanggil polis untuk disoal siasat.

“Saya baca di surat khabar, sudah tentu saya akan pergi (ke balai polis).

“Bila polis panggil, kita kena pergi, itu caranya di Malaysia. Bila polis panggil untuk siasatan, kita harus pergi,” katanya.

Dr Mahathir juga turut bersama-sama menyanyikan lagu “We are The World” yang pernah dipopularkan Michael Jackson dengan penyokongnya.

Beliau juga berkata, demonstrasi baju merah yang dijadual berlangsung pada 16 September depan tidak perlu diteruskan.

“Demonstrasi baju merah? Tak payahlah…kuning lawan merah macam di Bangkok.

“Ini kita punya masalah, selesaikanlah sendiri,” katanya merujuk kepada konflik politik di Thailand.

Beliau juga dilihat enggan menerima t-shirt berwarna merah yang diserahkan penyokongnya.

Penyokong-penyokong Dr Mahathir turut dilihat memakai t-shirt berwarna merah tertera perkataan “undur Najib” yang dijual RM15 sehelai.

Turut kelihatan antara penyokong beliau yang hadir ialah Umi Hafilda Ali.

Pada 2 September, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Dr Mahathir akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kehadirannya di perhimpunan Bersih 4 itu.

“Kita akan panggil beliau. Tun (Dr Mahathir) membuat beberapa ucapan dan pelbagai tuduhan. Jadi, kita mahu tahu lebih lanjut apa yang dimaksudkan dan dari mana maklumat diperoleh.

“Contohnya, Tun membuat kenyataan ketua-ketua Umno Bahagian ada menerima rasuah. Jadi kita nak tahu lebih lanjut. Harap beliau beri kerjasama,” Khalid dipetik berkata pada satu sidang media di Klang. – INSIDER