Tangani Gerakan Ekstremis Dengan Tegas – Tuanku Muhriz

417
0
SHARE

SERI MENANTI: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah meminta gerakan ekstremis, yang mengganggu-gugat keharmonian hidup sesama umat Islam dan bukan Islam, dipantau dan ditangani dengan tegas.

Beginda bertitah kegiatan gerakan itu jelas bertentangan dengan ajaran Islam mengikut Al-Quran dan As-Sunnah akibat tafsiran songsang kepentingan golongan itu.

“Ajaran Islam yang begitu indah tidak pernah menganjurkan atau membenihkan sifat ekstremisme dalam kalangan umatnya.

Malah, ia diturunkan lengkap dengan tata cara kehidupan sesama manusia serta mengiktiraf perbezaan kaum yang dijadikan Allah SWT dengan pelbagai hikmah tertentu. “Sebagai umat Nabi Muhammad, contohilah sifat dan keperibadian mulia baginda yang sentiasa mengamalkan kesederhanaan, kejujuran dan beramanah di dalam setiap urusan.

“Beta percaya nilai-nilai murni kehidupan, jati diri serta asas-asas moral yang luhur turut wujud dalam ajaran pelbagai agama lain yang menjadi anutan masyarakat majmuk di Malaysia,” titah Tuanku Muhriz pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Ke-68 baginda di Balai Rong Seri, Istana Besar Seri Menanti hari ini.

Turut berangkat hadir kedua-dua anakanda baginda iaitu Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-‘Abidin.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan juga menghadiri istiadat itu.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut menyeru rakyat untuk menghayati, mengamalkan serta berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara. Baginda bertitah golongan muda harus diberi kefahaman sebenar mengenai Prinsip Rukun Negara dan bukan sekadar menjadikannya hafalan untuk diikrarkan semasa perhimpunan atau majlis tertentu.

“Beta yakin sekiranya perkara ini diberi perhatian dan dokongan serius daripada semua pihak, keamanan keharmonian serta kemakmuran yang kita kecapi di tanah air tercinta ini akan berkekalan,” titah baginda.

Tuanku Muhriz turut menzahirkan rasa bangga dengan prestasi pembangunan Negeri Sembilan pada masa kini yang pesat membangun dalam pelbagai sektor.

“Sungguhpun landskap ekonomi dunia berada dalam ketidaktentuan, kerajaan beta berjaya menghadapinya dengan menyusun strategi serta perancangan yang komprehensif dan holistik,” titah baginda.

Menurut baginda Negeri Sembilan bakal melalui pembangunan jangka panjang menerusi kawasan pertumbuhan baharu, Malaysia Vision Valley, yang akan dilaksanakan mulai tahun ini.

Sambil menyuarakan keyakinan bahawa perancangan dan pelaksanaan program itu akan berjaya, baginda berharap ia juga akan merealisasikan misi menjadikan Negeri Sembilan maju pada 2020 demi memakmur dan mensejahterakan rakyat.

Sementara itu, dalam ucapannya, Hasan berkata kerajaan Negeri Sembilan merancang pelbagai inisiatif bagi mengatasi peningkatan kos sara hidup rakyat, yang selaras dengan agenda Memakmurkan Negeri, Mensejahterakan Rakyat.

“Melalui Jabatan dan Agensi kerajaan, pelbagai usaha dilakukan dengan menyediakan ruang dan peluang kepada rakyat bagi membantu menjana pendapatan ekonomi keluarga,” katanya sambil menambah kerajaan negeri turut meningkatkan pendapatan melalui pelaburan langsung asing dan dalam negeri serta kutipan royalti dari sumber asli.

Pada istiadat itu, seramai 121 orang menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat, dengan diketuai bekas Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) Kolonel Profesor Datuk Dr Kamarudin Kachar yang dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.