Tambang Naik, Beban Rakyat Bertambah

167
0
SHARE

ULASAN Satu demi satu, tambang perkhidmatan pengangkutan awam dinaikkan. Antara alasannya, semakan harga telah lama tidak dibuat dan harga tambang yang dinaikkan itu masih lebih murah berbanding dengan kadar yang termaktub dalam perjanjian konsesi.

Kelmarin diumumkan pula kenaikan tambang sehala perkhidmatan ERL dari KL Sentral ke KLIA/KLIA2 bermula Januari depan kepada RM55 iaitu kenaikan sebanyak 57 peratus daripada tambang semasa.

Sebelum ini kadar tambang bagi perkhidmatan KTM diumumkan naik antara 20 peratus hingga 140 peratus dan kenaikan bagi tambang LRT, Monorel dan RapidKL pula antara 40 peratus hingga 102 peratus.

Sebelum itu lagi, kadar harga tol juga telah dinaikkan antara 25 peratus hingga 80 peratus. Harga tambang bas pun turut dinaikkan. Selain itu, harga runcit petrol juga dinaikkan pada hampir setiap bulan.

Data kepenggunaan isi rumah yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan perbelanjaan untuk tujuan pengangkutan pada tahun 2000 ialah 12.6 peratus dan pada tahun 2009 naik kepada 13.1 peratus.

Maka saya percaya ia boleh mencecah kepada 22.2 peratus pada tahun 2015 berikutan trend kenaikan yang sedang berlaku sekarang.

Saya juga yakin bahawa kerajaan akan mengumumkan lebih banyak lagi kenaikan harga termasuk tarif air dan elektrik yang hanya akan menambahkan lagi beban rakyat.

Kenaikan kadar tambang atau harga ini amat tidak patut sama sekali. Sepatutnya kerajaan menyelesaikan dahulu isu mutu perkhidmatan pengangkutan awam.

Saya melihat tidak banyak penambahbaikan yang berlaku ke atas sistem pengangkutan awam. Kerajaan sepatutnya mengekang kenaikan pelbagai kos sara hidup. – MK