Taktik Lapuk Pembangkang Takutkan Melayu

18
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pembangkang sejak dulu sering membuat tuduhan tidak berasas sebagai taktik untuk menakut-nakutkan orang Melayu, sedangkan ia tidak lagi berkesan untuk memenangi pilihan raya.

Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, berkata terdapat juga orang Melayu dalam kalangan pembangkang dan golongan Islamofobia yang begitu berani menghina institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tunjang perlembagaan dan pemerintahan negara ini.

“Inilah golongan yang akan menghancurkan akal budi bangsa dan tanah air jika kita beri kepercayaan. Jadi, tanggungjawab kita untuk melawan orang-orang seperti ini.

“Ada pemimpin DAP yang terang-terang memaki orang Melayu, ini semua fakta yang kita sebutkan kembali sahaja. Kalau fakta ini membuat orang Melayu takut, itu menunjukkan mereka ada mata, ada akal dan boleh berfikir.

“Jadi, yang sebenarnya kita lakukan adalah meminta orang Melayu berhati-hati, memilih dengan bijak, mengenal yang mana satu musuh dan yang mana satu kawan. Jangan menjadi seperti pepatah Melayu, bila guruh berdentum di langit, air di tempayan dicurahkan,” katanya.