Tak Perlu Bayar Lebih Di Hospital, Klinik Kerajaan

136
0
SHARE

Hospital_KerajaanMELAKA: Pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan tidak dikenakan bayaran lebih walaupun penyusutan nilai mata wang Ringgit menyebabkan kenaikan harga ubat dan peralatan kesihatan di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam walaupun kerajaan terpaksa menanggung kos lebih tinggi berikutan penyusutan nilai Ringgit, namun kerajaan tidak merancang ‘memindahkan’ kenaikan kos itu kepada rakyat.

Bagaimanapun, katanya mereka yang mendapatkan rawatan daripada hospital swasta mungkin dikenakan bayaran lebih jika penyedia perkhidmatan itu tidak menyerap kenaikan kos itu.

“Kesan daripada keadaan ini ialah pesakit daripada sektor swasta, yang mungkin tidak dapat menampung kos lebih itu, akan berpindah ke hospital kerajaan…itu kemungkinan yang akan berlaku dan kita perlu bersedia,” katanya pada sidang akhbar di sini, malam ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis Makan Malam Tahunan Ke-33 Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di sini.

Dr Subramaniam berkata kenaikan harga ubat dan peralatan kesihatan itu adalah di luar kawalan kerajaan kerana penyusutan nilai mata wang berlaku hampir di seluruh dunia.

Kenaikan harga itu mungkin memberi kesan kepada ubat dan peralatan yang dihasilkan dalam negara.

“Ya, kemungkinan besar (harga naik) kerana banyak peralatan dan ubat kita beli dari luar negara. Ada yang diperbuat di sini seperti ubat generik tetapi bahan mentah untuk membuat ubat itu diimport,” katanya.

Namun, beliau berkata kenaikan itu dijangka bersifat sementara dan tidak akan menyebabkan kekurangan bekalan ubat di negara ini.