“Tak Payah Campur Hal Islam, Dr Zakir Manusia Istimewa” – Shahidan

428
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Seorang menteri Umno, hari ini membidas MIC dan beberapa NGO kaum India yang mengkritik pendakwah Islam antarabangsa Dr Zakir Naik sehingga menyebabkan polemik kaum dan agama di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata mereka tidak seharusnya campur tangan berkaitan agama Islam sedangkan Zakir disifatkannya sebagai “manusia istimewa” dengan pengetahuan yang mendalam mengenai perbandingan agama.

“Ini hal agama (Islam), tak payah masuk campur.

“Setelah Ahmad Deedat, saya rasa dia manusia istimewa. Dia orang yang mengetengahkan ilmu,” kata Shahidan pada sidang media di pejabatnya di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Jelasnya, peranan beliau adalah untuk bertindak sebagai pemudah cara antara penganjur dan pihak berkuasa.

“Saya rasa kehadiran beliau akan menjernihkan banyak perkara (mengenai Islam). Banyak salah faham mengenai Islam hari ini,” katanya.

MIC dan beberapa NGO kaum India telah membuat laporan polis terhadap syarahan Zakir dengan mendakwa pendakwah itu sering mengeluarkan kenyataan anti-Hindu serta memperlekehkan agama lain. – MK