Tahniah Dollah, Najib Bila Lagi? – Mahfuz

485
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mengucapkan tahniah kepada Dollah Salleh kerana meletak jawatan sebagai menggalas tanggungjawab atas prestasi buruk skuad Harimau Malaya.

Namun dalam kenyataan sama beliau juga menempelak Datuk Seri Najib Razak kerana enggan melepaskan jawatan walaupun gagal mengurus negara.

“Tahniah Dollah Salleh hanya kalah 10-0 anda lebih berani daripada Najib yang mungkin menunggu RM10 bilion dari tok arab UAE, tapi belum pasti melepaskan jawatan perdana menteri,” katanya.

Kata bekas Ketua Pemuda PAS itu, kekalahan teruk Harimau Malayakepada UAE (Emiriah Arab Bersatu) sesuatu yang sangat mengejutkan dan sukar diterima.

Menurut Mahfuz, gambaran kekalahan itu menunjukan betapalemahnya skuad Harimau Malaya berdepan UAE mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

“Saya tidaklah mengharapkan kemenangan tetapi kalau kalah sekali pun, tidaklah sampai 10-0,” kata Mahfuz.

Kini, kata Mahfuz, skuad Harimau Malaya tidak lagi menjadi “harimau yang mengaum” dan mengganas sebaliknya harimau kertas yang tiada taring untuk menerkam mangsa.

“Persoalannya apakah kelemahan pemain, jurulatih atau pengurusan dan kepimpinan FAM? Suatu bedah siasat menyeluruh perlu dibuat.

“Apa pun saya ucapkan tahniah pada Dollah Salleh jurulatih skuad harimau Malaya mengambil tanggung jawab dengan meletakan jawatan sebagai jurulatih atas kekalahan yang sangat memalukan,” katanya.

MP Pokok Sena itu berkata, beliau percaya tindakan Dollah Salleh untuk memberi ruang dan peluang kepada penyusunan semula skuad Harimau Malaya untuk bangkit mengaum dan mengganas membaham mangsa.

“Mungkin pengurusan skuad Harimau Malaya dan kepimpinan FAM masih menunggu PM Najib mendahului mereka meletakan jawatan atas ‘kekalahan ringgit Malaysia’ yang begitu teruk berbanding matawang asing,” katanya. -MKINI