Syarikat Minyak Terbesar Dunia, Aramco Mungkin Lancar IPO

152
0
SHARE
NEW YORK: Arab Saudi mungkin membuat tawaran awam permulaan (IPO) untuk syarikat pengeluar minyak terbesar dunia, Saudi Arabian Oil Co (Aramco), demikian mengikut satu laporan.

Putera Mahkota, Putera Mohammed Salman berkata keputusan itu akan dibuat dalam tempoh beberapa bulan. “Saya percaya ia adalah untuk kepentingan pasaran Arab Saudi, dan untuk kepentingan Aramco,” katanya kepada The Economist.

Arab Saudi sedang menangani impak kejatuhan harga minyak mentah terhadap negara itu. Kelmarin, harga minyak jatuh di bawah paras AS$35 setong, paras terendahnya sejak 2004. Penganalisis Oppenheimer & Co, Fadel Gheit, berkata IPO Aramco adalah sangat berasas.

Nilai pasaran Exxon Mobil Corp adalah lebih AS$300 bilion dan Saudi Aramco mengeluarkan tiga kali ganda minyak, kata Gheit.

Beliau membayangkan Aramco boleh menjual 20 peratus kepentingan minoriti dan meraih AS$200 bilion.

“Ia akan membiayai bajet untuk setahun,” katanya. The Economist berkata opsyen yang masih di peringkat pertimbangan awal bagi Saudi Aramco merangkumi menyenaraikan operasi petrokimia dan penapisan lainnya sehingga menjual saham dalam syarikat induk. Namun, tidak semua menganggap IPO sebagai pilihan muktamad.

Larry Goldstein dari Energy Policy Research Foundation percaya Arab Saudi akan mengelak daripada melaksanakan IPO, tetapi ia hanya meningkatkan kemungkinan yang memberi petanda kepada rakyatnya sendiri dan dunia luar.

“Mereka sanggup meneroka perkara yang mereka tidak sanggup untuk pertimbangkan secara serius sebelum ini, termasuk buat pertama kali menaikkan harga dalaman untuk petrol dan diesel,” kata Goldstein.

Di Arab Saudi, komen IPO adalah isyarat kepada mereka yang telah hidup sangat selesa dan ia perlu berubah, katanya. Goldstein berkata IPO tidak akan mengubah cara Saudi Aramco menguruskan pengeluaran dan aspek lain perniagaannya. Gheit bersetuju dan percaya Arab Saudi akan melayan pemegang saham minoriti seumpama itu.

Beliau berkata, Arab Saudi tidak akan membenarkan syarikat minyak asing memiliki rizab minyak sendiri di negara itu, melayan mereka seperti kontraktor dan bukan sebagai rakan kongsi atau sebahagian pemilik.

“Aramco masih akan dikendalikan seperti agensi kerajaan. Matlamat utama adalah membiayai bajet negara,” katanya. – AP