Sultan Johor Lancar Model Menara Bank Rakyat Johor

192
0
SHARE

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan merasmikan model menara Bank Rakyat Johor di PERSADA di sini, hari ini.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Blok bangunan pejabat setinggi 37 tingkat di Jalan Trus di sini, dengan keluasan 550,000 kaki persegi bernilai RM460 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2019.

Turut dilengkapi 92 petak meletak kenderaan, menara itu dijangka mampu menarik pelabur asing untuk menjalankan perniagaan terutama pelabur dari luar, antaranya China dan Singapura.

Sementara itu, dalam ucapannya, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Abdul Aziz Zainal, berkata bersempena dengan majlis hari ini, Bank Rakyat mengumumkan penawaran kemudahan pembiayaan 100 peratus kepada pembeli projek perumahan kos rendah dan mampu milik di Johor dengan kerjasama Yayasan Sultan Ibrahim.

Katanya, Bank Rakyat menawarkan kemudahan pembiayaan sehingga RM500 juta bagi pembangunan perumahan kos rendah dan mampu milik sebanyak 6,000 unit pada kadar kompetitif serta menarik bagi golongan berpendapatan rendah.

Menerusi kerjasama strategik bersama yayasan berkenaan, katanya, penjawat awam dan swasta yang layak di Johor boleh melakukan pembayaran deposit pembelian serendah RM1 bermula hujung tahun ini bagi tempahan rumah kos rendah dan mampu milik.