Sultan Johor Berkenan Bersantap Sarapan Bersama Rakyat Muar

295
0
SHARE
MUAR: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan mencemar duli bersantap sarapan pagi bersama penduduk Muar di Restoran Al Ziya Fathima di Pusat Perniagaan Mas Jaya, Jalan Salleh, dekat sini pagi Isnin.

Baginda yang tiba dengan menaiki kenderaan rasmi turut diiringi Pegawai Daerah Muar Ramlee A Rahman, ternyata mengujakan pengunjung yang tidak menyangka menerima keberangkatan baginda pada kira-kira pukul 6.45 pagi tadi.

Sultan Ibrahim memesan santapan kegemaran baginda iaitu roti canai kari kambing dan ayam dan minuman halia o ais.

Sebagai raja yang berjiwa rakyat, Sultan Ibrahim juga turut berkenan meluangkan masa bersembang bersama rakyat dan bergambar bersama pengunjung di restoran terbabit.

Baginda kemudiannya berangkat pulang ke Istana Tanjung dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda baginda selepas menghabiskan masa kira-kira 45 minit bersama rakyat.