Sukar Bagi Najib Jelaskan Isu “Derma” RM2.6 Billion Esok – Penganalisis

464
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mungkin mempunyai masa yang mencukup untuk meyakinkan pengkritiknya apabila beliau menjawab soalan mengenai isu ‘derma’ RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadinya di Dewan Negara, esok.

Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal parlimen, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini berkata, isu itu akan dijawab semasa sesi esok tetapi menyatakan bahawa sukar bagi ahli parlimen mendapat peluang bagi menyoal atau meminta penjelasan berhubung apa yang akan diperkatakan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan berkata, meletak agenda itu pada hari terakhir sesi Dewan Negara adalah tanda keengganan Najib untuk menjawap pengkritiknya.

“Sudah tentu masa yang tidak cukup untuk Najib jelaskan. Beliau tidak serius mahu menjawab soalan.

“Jika beliau serius, perkara itu tidak ditolak ke belakang hingga ke hari yang terakhir. Perlu ada lebih banyak masa diperuntukkan untuk sesi soal jawab,” kata Wan Saiful.

Beliau berkata, Najib sepatutnya juga menawarkan dirinya untuk memberikan keterangan secara kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sedang menyiasat 1MDB.

Menurut Wan Saiful, masa yang terhad diperuntukkan juga akan menyukarkan Najib untuk meyakinkan pengkritiknya.

“Menjelang esok, ia sudah menjadi terlalu lewat dan walaupun beliau memberikan jawapan yang jujur (tetapi) masih sukar untuk menyakinakan orang ramai.

“Dalam usaha untuk kekal berkuasa, beliau perlu meyakinkan ahli-ahli Umno tanpa menjadi liabiliti kepada parti, beliau juga perlu meyakinkan rakyat. Beliau tidak boleh hanya menyakinkan satu pihak sahaja,” katanya.

Penganalisis politik Azmi Hassan bagaimanapun berkata beliau percaya bahawa Najib akan menawarkan “sesuatu yang baru” dalam jawapannya esok.

“Kedua-dua isu itu telah berlarutan untuk seketika. Saya percaya bahawa perdana menteri tidak akan kitar semula jawapannya esok walaupun beliau hanya mempunyai jumlah masa yang singkat,” kata Azmi.

Mengenai jangkaan jawapan Najib, Azmi berkata presiden Umno itu boleh merujuk kepada kenyataan terbaru dari 1MDB mengenai penjualan aset tenaganya, Edra Global Eergy.

“Ia sudah jelas berdasarkan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB bahawa syarikat itu mempunyai potensi untuk berdaya maju secara komersial.

“Mengenai dana RM2.6 bilion itu, Najib hanya perlu meyakinkan rakyat bahawa sumbangan yang diterima tidak digunakan untuk kepentingan peribadi,” katanya. – MK