SUK Baharu Diumum Selepas 3 Januari – Azmin

99
0
SHARE

SHAH ALAM: Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang baharu akan diumumkan selepas 3 Januari tahun depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Jelas Mohamed Azmin, selepas pelantikan dilakukan majlis angkat sumpah SUK itu akan diadakan pada 11 Januari.

“Kita sudah senarai pendek nama pengganti SUK yang baharu, tapi kita tunggulah pengumuman yang akan dibuat selepas 3 Januari,” kata Mohamed Azmin ketika majlis perpisahan SUK Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi di sini, hari ini.

Tambah Mohamed Azmin, individu yang bakal menggantikan Mohammed Khusrin adalah anak kelahiran Selangor.

Sementara itu, Mohammed Khusrin berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mencadangkan sembilan nama sebagai penggantinya.

Bagaimanapun, Mohammed Khusrin yang telah mengetahui individu yang bakal menggantikan beliau berkata, hanya dua nama disenarai pendek JPA.

“Saya tak boleh nak umum, kita kena tunggu Ketua Setiausaha Negara (KSB) akan umum. Calon yang dicadangkan JPA ada sembilan orang. Tapi kita dah senarai pendek dua…dan saya dah tau, tapi tak boleh bagi tau lah,” katanya.

Justeru, beliau berharap supaya individu yang bakal menggantikan tempat beliau dapat meneruskan hubungan baik pihak eksekutif dengan Istana Selangor termasuk pemimpin di pelbagai peringkat.

“Saya mengharapkan siapa juga yang akan mengganti saya dapat meneruskan kerjasama dan hubungan yang baik di antara pihak eksekutif, pegawai kerajaan, pegawai daerah, Yang DiPertua dan istana.
“Semoga dapat diteruskan untuk kita mencapai visi kerajaan negeri mencapai sebagai sebuah negeri pintar seperti yang kita rancangkan,” katanya.

Mohammed Khusrin pernah berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum dilantik sebagai SUK Selangor.