Suasana Suram Di Rumah Keluarga Tun M Selepas Mukhriz Disingkir

6856
0
SHARE

ALOR SETAR: Kediaman Tun Dr Mahathir Mohamad di Titi Gajah, Alor Star diselubungi suasana suram susulan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir berjaya disingkir daripada jawatan menteri besar Kedah hari ini selepas pengumuman rasmi peletakan jawatannya.

Penyokong dan sanak saudara keluarga itu dilihat berkumpul di kediaman, termasuk Ahli Parlimen PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang turut kelihatan tiba bagi melawat Mukhriz kira-kira jam 11.30 pagi.

Keadaan sebak dirasai sebaik ibu Mukhriz, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, tiba di sana kira-kira jam 12 tengahari.

Mukhriz dilihat memeluk ibunya sebaik masuk ke dalam rumah dan Siti Hasmah kelihatan sedih mendengar khabar peletakan jawatan anaknya itu.

Mereka kemudiannya dilihat beriringan menuju ke bilik peribadi bagi menenangkan perasaan.

Mukhriz dijadualkan bertolak ke ibu kota Kuala Lumpur jam 3.45 petang ini selepas tidak lagi menjadi menteri besar.

Hari ini, kemelut politik Kedah selesai selepas semua persoalan berhubung menteri besar yang baharu terjawab apabila Mukhriz sendiri mengumumkan peletakan jawatannya.

Kemelut politik negeri itu berlarutan hampir 2 minggu selepas sidang media diadakan Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada 20 Januari lalu.

Hari ini pihak Wisma Darul Aman secara rasmi mengumumkan Ahmad Bashah, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Bata, sebagai pengganti Mukhriz. – INSIDER