‘Standard’ Anti Rasuah TPPA Tinggi, Jadikan Negara Bertanggungjawab – Obama

56
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama mengatakan hari ini Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mempunyai standard anti rasuah paling kuat berbanding perjanjian perdagangan lain.

Berucap pada Persidangan Perniagaan dan Pelaburan Asean 2015 di Kuala Lumpur Obama berkata, ini akan menyebabkan negara terlibat menjadi lebih bertanggungjawab.

“Ia mensyaratkan negara terlibat mempunyai undang-undang anti rasuah termasuk memberi rasuah kepada penjawat awam.

“Ia mensyaratkan negara terlibat menguatkuasakan undang-undang ini,” katanya.

Obama turut menggambarkan perjanjian itu sebagai mempunyai standard paling tinggi berbanding perjanjian perdagangan lain.

“Bukan sahaja ia akan mewujudkan peluang pekerjaan, ia juga akan mewujudkan undang-undang perdagangan lebih kuat bagi Asia Pasifik,” katanya.

Ucapannya pada persidangan hari ini mempromosikan TPPA, satu inisiatif perdagangan AS yang melibatkan 12 negara, termasuk Malaysia.

Kesemua negara sudah bersetuju dengan perjanjian itu, tetapi ahli individu masih belum membuat persetujuan.

“Saya yakin ia akan diluluskan di AS dan kita akan bergerak ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata, TPPA juga mempunyai standard tinggi berhubung alam sekitar, hak asasi manusia dan buruh berbanding perjanjian perdagangan lain. – INSIDER